Jumaat, 7 Julai 2017

Ibu tabah jaga anak koma


Ibu tabah jaga anak koma
Maimun tidak boleh meninggalkan rumah kerana perlu menjaga Mohd Zazliey yang koma.


PASIR PUTEH - Seorang ibu sanggup mengorbankan masa menjaga anaknya yang koma selama lebih dua tahun akibat diserang angin ahmar di Kampung Tualang Tinggi, Selising, dekat sini.

Maimun Wahab, 55, berkata, anaknya, Mohd Zazliey Awang, 37, yang tidak sedarkan diri selepas rebah kini terlantar di rumah.

Katanya, penjagaan anak kedua daripada sembilan beradik itu juga memerlukan perbelanjaan khususnya untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang.

“Satu tin susu berharga RM75 untuk empat hari saja. Itulah makanan dia yang dimasukkan melalui tiub, saya juga kena sediakan wang untuk lampin pakai buang.

“Saya tak boleh ke mana-mana, duduk rumah saja kerana saya perlu menjaganya. Tangannya pula terpaksa diikat bagi mengelak dia membuang tiub,” katanya.

Menurutnya, suaminya, Awang Ali Mamat, 59, bekerja sebagai buruh tidak mampu menyediakan perbelanjaan besar untuk anaknya itu.

Maimun berkata, dia tetap bersyukur kerana anaknya itu menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Tapi saya masih berharap ada pihak membantu ringankan beban keluarga kami. Dulu Mohd Zazliey bekerja dengan ayahnya bagi membantu keluarga tapi sekarang dia terlantar di rumah,” katanya.

Maimun berkata, dia berterima kasih kepada Kelab Pembaca Sinar Harian Pasir Puteh (Gu Sinar) yang menziarahi anaknya serta menyampaikan sumbangan.

“Kunjungan mereka yang prihatin ni meredakan sedikit kesusahan saya. Saya juga tak berasa keseorangan dalam menjaga anak yang sakit ni,” katanya.

Tiada ulasan: