Rabu, 19 Julai 2017

Harapan tidak pernah bincang Akta Majlis Keselamatan Negara, kata Muhyiddin

DALIA ISMAIL

Muhyiddin Yassin


Pakatan Harapan (Harapan) buat masa ini tidak pernah membincangkan berkaitan dengan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya menang pilihan raya akan datang, kata Timbalan Presiden Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Setakat hari ini tidak ada bincang perkara itu kita faham undang-undang MKN telah diluluskan dulu, pastinya mesti ada asas prisip bagaimana undang-undang itu dikuatkuasakan.

"Pastinya rakyat tidak mahu ada penyalahgunaan kuasa. Tujuannya untuk menjaga keselamatan negara bukan atas asas pertimbangan politik dan sebagainya," ujarnya ketika ditanya dalam sidang media diadakan di Ibupejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Petaling Jaya petang ini.

Sidang media diadakan bertujuan untuk mengumumkan persediaan jentera pilihan raya parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan bekas Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini, yang menyarankan agar Harapan mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mahkamah.

Dalam catatan di blognya,  Zaid yang juga ahli seumur hidup DAP itu berkata, pemimpin Harapan perlu mempertimbangkan senario yang mungkin berlaku sekiranya keputusan pilihan raya umum akan datang tidak memihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno.

Najib mempunyai “senjata” yang tidak dimiliki orang lain dan ia adalah Akta MKN dan majlis itu mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kecemasan dan melantik sesiapa sahaja sebagai pengarah operasi kawasan keselamatan, kata Zaid.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, buat masa ini Akta MKN bukanlah begitu penting untuk pimpinan Harapan membawa ke meja rundingan gabungan itu.

"Diperingkat sekarang tidak begitu. Apa yang penting kita bincang soal persiapan (PRU). Kita harap BN menghormati segala bentuk undang-undang yang ada dan tidak menyalahguna kuasa membawa keburukan kepada kedaulatan dan rakyat negara," ujarnya.

Tiada ulasan: