Isnin, 31 Julai 2017

Gerakan mahu letak tiga calon di kerusi Parlimen Kuala Lumpur

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan meletakkan tiga calon yang bakal bertanding bagi kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
 
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong mengumumkan mereka ialah Dr Dominic Lau Hoei Chai bagi kerusi Parlimen Batu, Ong Siang Liang (Kepong), dan Datuk Lau Hoi Keong (Segambut).
 
"Pada pilihan raya lalu kita telah bertanding dalam dua kerusi parlimen iaitu di Batu dan Segambut. Untuk pilihan raya akan datang ini kita berharap dapat bertanding di kawasan Kepong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Gerakan Wilayah Persekutuan 2017 di Kuala Lumpur.
 
Mah, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata parti itu telah bersiap sedia bagi menghadapi PRU14 pada bila-bila masa dari sekarang.
 
"Meskipun kita akui pada pilihan raya lepas prestasi Gerakan tidak begitu baik namun kita yakin dan optimis bahawa PRU-14 akan datang ini sokongan daripada pengundi kaum Cina bakal meningkat.
 
"Berdasarkan kajian, kami yakin bahawa sokongan pengundi kaum Cina akan bertambah lebih dari 30 peratus berbanding hanya 13.4 peratus pada pilihan raya umum lalu," katanya yang dipetik sebuah agensi portal berita.
 
Mah berkata berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan pada PRU sebelum ini, Gerakan mengambil pendekatan mengumumkan bakal calon yang bertugas sebagai penyelaras di kawasan masing-masing bagi membolehkan pengundi membuat penilaian sendiri terhadap calon yang dipilih untuk mewakili kawasan mereka bertanding pada PRU14.
 
"Jika prestasi mereka tidak begitu memuaskan, pertukaran calon akan dilakukan.
 
"Ini merupakan satu langkah baharu bagi memantapkan serta memastikan kemenangan Gerakan pada PRU14," katanya.
 
 

Tiada ulasan: