Rabu, 19 Julai 2017

Dulu tuduh naikkan harga makanan, sekarang tagih simpati pula


Roketkini.com

SHAH ALAM: Setelah kehilangan sokongan orang Melayu, Datuk Seri Najib Razak kini terpaksa memancing simpati masyarakat India Muslim di negara ini dengan pelbagai janji yang dilihat tidak lebih sebagai sekadar gimik pilihan raya.

Perdana menteri, seperti dilaporkan media semalam berkata beliau bersetuju bahawa India Muslim adalah sebahagian daripada kumpulan Bumiputera dan akan mengkaji tuntutan supaya status berkenaan diwartakan.

Bagaimanapun, Setiausaha Eksekutif Sosialis Muda DAP (DAPSY), Muhammad Shakir Ameer Mohideen berkata, UMNO mungkin terlupa bahawa pemimpinnya dahulu pernah munuduh golongan India Muslim sebagai punca kenaikkan harga makanan di restoran mamak.

Tuduhan yang dilemparkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu sebenarnya, katanya, tidak mengambil kira harga runcit makanan yang kebanyakannya dimonopoli oleh kroni parti Melayu tersebut.

“Konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh Barisan Nasional (BN) selama ini pun sudah lapuk. Sokongan Melayu nampaknya sudah semakin menurun. Sekarang Najib mula menadah tangan kepada komuniti India Muslim yang populasinya kurang daripada 10 peratus.

“UMNO ternyata sudah kehilangan sokongan dalam kalangan orang Melayu sehingga terpaksa meraih sokongan daripada komuniti India Muslim yang begitu kecil bilangannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain mewartakan India Muslim sebagai Bumiputera, Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) turut meminta kerajaan membina pusat komuniti India Muslim di Putrajaya atau Kuala Lumpur, dan melantik pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri untuk hal ehwal komuniti itu. – Roketkini.com


Tiada ulasan: