Ahad, 2 Julai 2017

DOJ hanya sita aset penjenayah pengubahan wang haram 1MDB

ARIF ATAN

Jutawan kontroversi Jho Low dalam satu majlis di New York.


Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) bukannya mencampuri urusan Malaysia sebaliknya mengheret penjenayah pengubahan wang haram yang terkait dengan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke muka pengadilan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, harta yang dibeli menggunakan wang 1MDB akan dirampas dan dicairkan dalam bentuk tunai untuk diserahkan kembali kepada 1MDB jika mahkamah di AS membenarkan permohonan tindakan undang-undang sebelum ini.
"Rakyat amat berharap agar sesuatu perlu dilakukan di negara kita Malaysia untuk mengheret mereka yang terlibat dan bersubahat dalam kes 'pencurian mega' wang 1MDB yang menyebabkan aktiviti pengubahan wang haram tersebut dilakukan oleh individu seperti disebut dalam laporan DOJ.
"Amerika Syarikat mahupun pihak asing lain tidak mencampuri urusan perundangan Malaysia dan jangan pula Malaysia dilihat dunia sebagai mencampuri urusan proses perundangan di Amerika Syarikat oleh DOJ semata-mata untuk 'mensucikan penjenayah' yang telah merosakkan nama baik Malaysia di mata dunia," tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas dakwaan kononnya laporan DOJ berhubung penglibatan individu yang dinamakan Malaysian Official 1 (MO1) dan isteri MO1 dalam jenayah pengubahan wang haram dari aliran akaun 1MDB, beliau menyifatkan hal tersebut sebagai sangat memalukan.

"Komen-komen dari pemimpin parti Umno-BN serta segelintir pemimpin pembangkang termasuk Pas serta beberapa orang mufti adalah dilihat sebagai percubaan untuk mensucikan pelaku jenayah penggubahan wang haram di Amerika," ujarnya.

Menurutnya, dokumen saman yang difailkan DOJ secara jelas untuk menyita dan mendapatkan kembali hasil penyelewengan berjumlah US$540 juta (RM2.3 bilion) dalam bentuk aset-aset yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang diseleweng dari akaun 1MDB yang keseluruhannya menjangkau US$1.7 bilion (RM7.3 bilion).

"DOJ bertindak memfailkan kes tersebut di mahkamah Amerika Syarikat setelah siasatan mendapati wang yang 'dirompak' dari 1MDB tersebut telah digunakan untuk transaksi-transaksi di Amerika Syarikat di mana ianya jelas membabitkan perbuatan pengubahan wang haram (money laundering) yang menjadi kesalahan di Amerika Syarikat serta di seluruh dunia.

"Malaysia juga tidak terkecuali kerana Malaysia juga mempunyai undang-undang bagi mencegah penggubahan wang haram iaitu  *Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Keganasan 2001 akta 613 atau lebih di kenali sebagai AMLATFAPUAA* seperti di Amerika Syarikat.

"Justeru, apa yang diseret dan dipalitkan nama-namanya seperti MO1 oleh DOJ adalah pelaku jenayah pengubahan wang haram tersebut," jelas pemimpin Pas itu.

Sehubungan itu, Mahfuz berpendapat kenyataan Jabatan Peguam Negara Malaysia yang dianggap tampil menjadi 'hero' bahawa tiada berlaku apa-apa kes kecurian dalam 1MDB serta peringatan jangan biar campur tangan asing dalam kes 1MDB adalah sangat pelik.

Hal ini kerana, katanya, siasatan pihak berkuasa AS menemui kes penggubahan wang haram dari dana 1MDB yang dikitar di negara berkenaan dikembalikan semula ke Malaysia untuk MO1 dan isteri MO1.

"Dengan kenyataan-kenyataan yang sedemikian rupa pastinya, PM Najib Razak, MO1 dan isteri MO1 tersenyum lebar hingga ke telinga melihat agamawan yang sungguh menawan sedangkan rakyat Malaysia sedikit pun tidak tertawan dengan kenyataan yang seolah-olah untuk memperbodohkan rakyat Malaysia yang bijak bestari," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: