Isnin, 17 Julai 2017

Diskaun 50 peratus guna MRT, LRT, Monorel, BRT hingga 31 Ogos

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Lebih 500,000 pengguna akan menikmati diskaun 50 peratus tambang perjalanan bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Bas Rapid Transit (BRT) mulai esok hingga 31 Ogos depan.
 
Pengumuman itu dibuat sempena pelancaran MRT 1 Fasa Kedua Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pagi tadi.
 
Ketua Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman, berkata pihaknya sedang menyelaraskan sistem tambang semua perkhidmatan terbabit untuk kemudahan semua pengguna.
 
Katanya, orang ramai perlu mengambil kesempatan menggunakan MRT fasa dua dari stesen Kajang ke stesen Muzium Negara secara percuma sehingga tamat waktu perkhidmatan hari ini.
 
"Tren berakhir berlepas dari stesen Kajang dan Muzium Negara kira-kira jam 11.30 malam ini.
 
"Perkhidmatan fasa kedua MRT SBK akan beroperasi secara percuma antara stesen MRT Kajang dan stesen MRT Muzium Negara, yang dihubungkan ke stesen KL Sentral melalui laluan pejalan kaki bawah tanah hari ini.
 
"Ia sebelum dihubungkan sepenuhnya dengan MRT fasa satu dari stesen MRT Sungai Buloh, stesen LRT dan KTM di dalam jaringan rel bersepadu Lembah Klang mulai jam 6 pagi esok," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Katanya, lebih 1,200 anggota Rapid Rail bersedia menyambut bilangan pengguna baharu perkhidmatan MRT yang dijangka meningkat 10 kali ganda sehari berbanding jumlah pengguna MRT sedia ada.
 
Beliau berkata, pada masa sama Rapid Rail sedang mengubahsuai beberapa stesen utama selain yang sudah melalui pembaharuan seperti stesen LRT KL Sentral.
 
"Anjung timur stesen LRT KL Sentral sudah siap diubahsuai dan dibuka sepenuhnya mulai hari ini sebagai pintu masuk kedua stesen LRT KL Sentral," katanya.
 
 

Tiada ulasan: