Khamis, 6 Julai 2017

Di S'gor, Azmin kata Pakatan Rakyat tetap wujud


Bagi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, Pakatan Rakyat masih 'wujud' dalam kerajaan negeri.

"Dalam konteks kerajaan negeri, Pakatan Rakyat masih wujud kerana ia mandat yang diberikan oleh rakyat. Sebagai menteri besar Selangor, saya perlu membawa mandat itu," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau sebelum ini menafikan mahu menangguhkan usaha membentuk perikatan Pakatan Harapan (HARAPAN) peringkat negeri dengan menunjukkan ia telahpun wujud.

"Dalam konteks politik, sudah tentu, kita membangunkan HARAPAN."

Bagaimanapun, Azmin menekankan keutamaan sekarang adalah memastikan mereka mencapai kesepakatan peringkat nasional dan negeri untuk berdepan pilihan raya umum berbanding menumpukan kepada struktur HARAPAN.

"Walau di peringkat kebangsaan, kita belum selesaikan struktur itu. Kita belum tahu siapa pengerusi HARAPAN, biarlah struktur nasional selesai sebelum peringkat negeri," jelasnya.

Ditanya bagaimana dua gabungan wujud di Selangor, Azmin menjawab: "Mengapa tidak?"

"Kami bekerja dengan baik sejak tiga tahun yang lalu kerana ia mandat oleh rakyat, siapa saya hendak menolak? Saya perlu membawa mandat rakyat," ujar beliau.

Tiada ulasan: