Rabu, 5 Julai 2017

Dasar bina rumah mampu milik kerajaan DAP tak seimbang

Wartawan MalaysiaGazette

PULAU PINANG – Parti Gerakan Pulau Pinang mempersoalkan dasar dan polisi perumahan mampu milik Kerajaan DAP Pulau Pinang yang disifatkan tidak seimbang serta menyelesaikan masalah kesukaran mendapatkan rumah dalam kalangan penduduknya.

Ketua Biro Publisiti Gerakan, Ooi Zhi Yi berkata, perkara itu dapat dilihat dengan ketara menerusi perancangan pembinaan rumah mampu milik di bawah harga RM42,000 yang jauh lebih rendah daripada permintaan.

Menurut beliau, ketika ini terdapat seramai 12,601 permohonan untuk mendapatkan rumah mampu milik kategori A itu namun kerajaan negeri hanya merancang membina sebanyak 9,803 unit dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Jumlah 9,803 itu termasuk 867 unit yang akan dibina oleh kerajaan negeri manakala bakinya iaitu 8,936 akan dibina pemaju swasta.

“Ini menunjukkan terdapat kekurangan kira-kira 2,798 unit lagi rumah mampu milik kategori A itu berdasarkan permohonan daripada rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Apa yang menghairankan, ujar Zhi Yi, Kerajaan DAP Pulau Pinang sebaliknya terlebih membina rumah mampu milik kategori C berharga RM300,000 ke bawah menerusi rancangan pembinaan lima tahun berkenaan.

Menurut beliau, berdasarkan permintaan rakyat, permohonan jenis rumah itu hanya 9,342 unit tetapi kerajaan negeri dengan kerjasama pemaju swasta merancang membinanya sehingga 34,115.

“Ini bermakna terdapat lebihan 24,773 unit rumah mampu milik berharga RM300,000 ini di pasaran dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Persoalannya, mengapa rumah yang lebih mahal ini dibina melebihi permintaan rakyat dan untuk siapa sebenarnya unit-unit ini mahu dibina?” katanya.

Jelas beliau, dasar dan polisi perumahan Kerajaan DAP Pulau Pinang itu jelas tidak seimbang sekali gus menafikan hak rakyat golongan miskin mendapatkan rumah sendiri.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan bagaimana Kerajaan DAP Pulau Pinang dapat memastikan projek-projek rumah mampu milik itu dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang seperti dijanjikan.

“Persoalan ini sangat kritikal kerana jumlah unit yang dirancang mahu dibina dalam tempoh lima tahun itu jauh lebih tinggi daripada unit yang telah dibina sepanjang kira-kira 10 tahun DAP mentadbir negeri ini,” katanya.

Untuk rekod seperti didedahkan Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, sebanyak 10,553 unit rumah mampu milik kategori A berharga RM42,000 ke bawah sudah dibina sejak DAP memerintah negeri ini pada 2008 hingga April tahun ini.

Bagi kategori B iaitu rumah berharga RM72,500 ke bawah pula, sebanyak 9,788 unit telah dibina DAP dan pemaju swasta sepanjang tempoh sama.

Berdasarkan perancangan dalam tempoh lima tahun akan datang pula, rumah kategori A dirancang dibina sebanyak 9,803 unit manakala rumah kategori B sebanyak 20,071 iaitu jauh lebih tinggi daripada yang berjaya dibina sepanjang kira-kira 10 tahun DAP memerintah.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: