Jumaat, 21 Julai 2017

DAP tetap perlu adakan pemilihan semula, tegas RoS

Berita Daily Staff

Ketua Pengarah RoS, Mohammad Razin Abdullah berkata, jabatan itu juga hanya akan mengadakan perjumpaan dengan DAP sekiranya ada permohonan secara rasmi.

KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan (RoS) menegaskan DAP perlu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

Ketua Pengarah RoS, Mohammad Razin Abdullah berkata, jabatan itu juga hanya akan mengadakan perjumpaan dengan DAP sekiranya ada permohonan secara rasmi.

“ROS tidak berganjak dengan keputusan supaya DAP mengadakan semula pemilihan semula CEC.
“Sekiranya pihak DAP memerlukan sebarang penjelasan daripada RoS, ia hendaklah dikemukakan secara bertulis,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu sidang media semalam bahawa parti itu akan menangguhkan pemilihan semula CEC.

Guan Eng berkata, pihaknya mahu RoS menjelaskan arahan yang didakwa parti itu sebagai palsu dan tidak berasas.

“DAP akan berusaha untuk berjumpa dengan RoS. Sebelum ini usaha untuk mengadakan perjumpaan dengan RoS tidak berjaya.

“Jadi, DAP berharap RoS akan membenarkan satu perjumpaan bagi menjelaskan dan membincangkan langkah seterusnya,” katanya.

Pada 7 Julai lalu, RoS meminta DAP mengadakan sekali lagi pemilihan semula CEC baru yang sah dan telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Ini kerana RoS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu hasil pemilihan semula pada 29 September 2013, adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Tiada ulasan: