Ahad, 23 Julai 2017

DAP tak boleh tanding bawah logo PPBM - Tun M

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan logo partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak boleh digunakan oleh DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana ia mahu kekal sebagai parti Melayu dalam meraih sokongan pengundi Melayu.
 
Beliau yang dipetik Free Malaysia Today (FMT) berkata demikian ketika ditanya sama ada DAP boleh bertanding pilihan raya umum nanti sekiranya pendaftaran mereka dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
 
Menurut Pengerusi PPBM itu, DAP masih boleh menggunakan loga dua parti lain dalam Pakatan Harapan (PH). 
 
“Ada dua parti lain (dalam PH) yang berbilang kaum. DAP boleh bertanding di bawah dua parti itu (kalau pendaftaran mereka dibatalkan).
 
“Saya yakin PKR dan Amanah akan terima mereka, tetapi kita tidak boleh, kerana kita parti Melayu,” kata Dr Mahathir ketika menghadiri majlis rumah terbuka anjuran ahli politik DAP, Datuk Zaid Ibrahim hari semalam.
 
PPBM kata Dr Mahathir, perlu kekal sebagai parti Melayu untuk meraih sokongan pengundi Melayu dan PH akan tempang pada pilihan raya umum akan datang tanpa sokongan pengundi Melayu.
 
Mantan perdana menteri itu berkata, keadaan itu juga telah menyebabkan Pakatan Rakyat gagal menang pilihan raya umum 2013 lalu.
 
"Suka atau tidak, orang Melayu masih sangat komunal, sebab itu mereka sokong Umno.
 
"Mereka tidak akan sokong parti berbilang kaum. Mereka (Pakatan Rakyat) raih banyak sokongan orang Cina, tapi tidak banyak sokongan orang Melayu dan tanpa mereka kamu tidak boleh menang," katanya. 
 
Pada 7 Julai lalu, Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah meminta DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) ekoran pelantikan ahli CEC dan pemegang jawatan utama DAP pada 29 September 2013 dianggap tidak sah dari segi undang-undang.
 
Beliau berkata, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, yang melibatkan seramai 2576 perwakilan dari 865 cawangan.
 
Mohamad Razin berkata pemilihan semula CEC yang baru adalah perlu bagi memilih 20 orang anggota yang sah berpandukan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP untuk membolehkan pemilihan itu diiktiraf RoS. 
 
Keengganan DAP mengikut arahan RoS berkemungkinan menyaksikan parti itu dilarang bertanding pada pilihan raya umum ke-14.

Tiada ulasan: