Selasa, 11 Julai 2017

Calon MB Pakatan Harapan ‘gelabah’

DETIK DAILY



SELEPAS menyatakan kesediaan dicalonkan sebagai menteri besar Pakatan Harapan (PH) di Kelantan, Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Dato’ Husam Musa menyambut pula cadangan sebuah syarikat mahu menyamannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Climate Protectors Sdn Bhd, Tang Too Siah mempertimbangkan untuk menyaman Husam ekoran kenyataan yang dikeluarkan terhadap syarikat miliknya itu.

Climate Protector pada Januari lepas menandatangani memorandum perjanjian (MOA) dengan kerajaan Kelantan bagi mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan seluas satu juta ekar.

Justeru ramai melihat langkah itu dibuat sebagai misi menyelamat selepas kenyataannya sebagai calon menteri besar PH tidak mendapat restu PAN pusat.

Sebelum ini tindakan Lim Kit Siang menyebut Husam sebagai bakal menteri besar Kelantan yang dilihat strategi pre emptive itu secara langsung telah menimbulkan konflik dalam PAN selain Lim Kit Siang telah memperlihatkan sikapnya langsung tidak peka dengan sensitiviti dalam PAN atau PH itu sendiri.

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub dalam reaksi awalnya menyifatkan pengisytiharan Lim Kit Siang, Husam sebagai calon menteri besar Kelantan hanya pandangan peribadi sahaja.

Lebih dari itu, tindakan Adun Salor terbabit dikatakan telah melukakan pemimpin PKR Kelantan yang menganggap Husam telah mengenepikan mereka begitu sahaja dalam soal menamakan menteri besar PH.

Polemik dalaman PAN itu menambah lagi kecamuk ketika isu calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) menjadi rebutan PKR, PPBM dan DAP.

Ulasan seorang veteran PAS Kelatan Abdul Fatah Harun agak menarik apabila melihat kesungguhan Adun Salor sehingga terpaksa mengadakan sidang media bagi menyatakan kesanggupan dicalon menteri besar Kelantan seumpama menambahkan lagi parah PH.

Katanya, pemimpin terbabit dianggap gagal melihat kenyataan Kit Siang dalam konteks sebenar sehingga Husam serta merta menyambutnya.

“Sepatutnya beliau malu kerana respon awal diberi pemimpin DAP secara spontan dan bukan dilihat serius.

“Itu belum lagi ditengok sokongan di peringkat akar umbi PAN di Kelantan. Lagi pun jawatan menteri besar ditentukan pengundi dan bukan pemimpin tertentu,” katanya.

 Abdul Fatah yang juga Yang Dipertua PAS Rantau Panjang berkata banyak kenyataan dibuat penasihat PAN Kelantan boleh mencalar imej parti itu sendiri.

Seorang lagi pimpinan PAS Kelantan, Zulkifli pula berkata, sepatutnya Naib Presiden PAN itu menyebut di kerusi mana yang akan beliau tandingi di Kelantan sebelum bersetuju dicalon sebagai menteri besar menunggu.

“Kalau kerusi pun belum ada ini tentunya akan ditertawakan orang ramai. Namun saya melihat beliau akan memilih kerusi selamat di luar Kelantan bagi menyambung hayat politiknya.

“Ini kerana PAN mengharapkan kawasan campuran kerana sejarah pengundi Melayu sejak merdeka hanya ada dua pilihan iaitu PAS atau Umno,” katanya yang juga Adun Pulai Chondong.

Selain itu Adun Chempaka, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood pula percaya pemimpin PAN dilihat sengaja mencipta pelbagai isu bagi menyambung hayat politiknya.

Katanya, banyak isu yang berlingkar di Kelantan cuba dijuarai PAN termasuk sekatan laluan balak oleh sekumpulan penduduk Orang Asli di Gua Musang akhir tahun.

“Baru-baru ini pemimpin itu mendesak PAS menamakan pula menteri besar baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-14. Ini agak pelik kerana menteri besar sekarang masih ada.

“Tindak tanduk pemimpin terbabit seperti mahu mencipta seramai mungkin musuh biar pun dia mendakwa berjuang bagi pihak rakyat,” ujarnya.

Nampaknya isu demi isu yang melingkari parti serpihan itu semakin menjelaskan wajah sebenar mereka yang hanya bertujuan melemah atau menjatuhkan PAS bukannya mahu mengantikan Umno- Barisan Nasional seperti yang mereka uaruarkan.

Hanya di Kelantan mereka cuba berlagak menjadi hero kononya untuk membela rakyat sedangkan dinegeri-negeri lain yang masih dikuasai Umno keberadaan mereka seperti hidup segan mati tak mahu.-Editorial Harakah

Tiada ulasan: