Khamis, 13 Julai 2017

Bongkah ais gergasi terpisah di Antartika

ISMA WEB
 



SANTIAGO – Salah satu bongkah ais terbesar dalam sejarah dilaporkan terpisah dari glasier Antartika, semalam.

Universiti Swansea dan Penyelidikan Antartik British yang mengesahkan perkara itu berkata, bongkah ais tersebut sudah menunjukkan tanda-tanda untuk terpisah selama beberapa bulan.

Bongkah ais seberat satu trilion tan yang berukuran 5,800 kilometer persegi terpisah dari pentas ais Larsen C di Antartika antara 10 dan 12 Julai lalu.

Keadaan itu menjejaskan kapal-kapal di sekitar benua itu.

“Bongkah ais itu adalah yang terbesar pernah direkodkan dan keadaannya pada masa depan sukar dijangka.

“Mungkin ia akan kekal begitu tetapi besar kemungkinan ia akan terpisah menjadi ketulan ais. Beberapa ketulan ais akan kekal di situ berdekad-dekad lamanya, manakala sebahagian daripada aisberg itu mungkin dihanyutkan ke utara kawasan kurang sejuk,” kata seorang pensyarah di Universiti Swansea, Adrian Luckman.

Bongkah ais yang terpisah itu boleh menambahkan risiko terhadap kapal-kapal yang belayar.

Menurut saintis, bongkah ais itu antara 10 bongkah paling besar yang didaftarkan.

Keluasan permukaannya menyamai satu pertiga keluasan wilayah Santiago (15,403 kilometer persegi).


Tiada ulasan: