Khamis, 20 Julai 2017

Bekas wakil rakyat PAS akan kalah jika kembali bertanding di Kelantan - Bekas MP Bachok

ANTARAPOS.COM
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas wakil rakyat PAS di Kelantan diingatkan tidak kembali bertanding di kawasan masing-masing sekiranya tidak mahu mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Pengarah Pusat Kajian Strategik Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof berkata ia merupakan petua utama di negeri itu iaitu mana-mana wakil rakyat PAS bertindak keluar parti atau menyertai parti lain akan ditolak oleh pengundi.
 
"Secara peribadi saya melihat mereka bertindak begitu bukan atas sifat masa depan mereka masih di Kelantan, mereka tidak melihat di situ.
 
"Sebabnya kita tahu orang yang mahir dalam kajian politik Kelantan melihat bahawa seseorang yang telah keluar daripada PAS atau Umno akan ditolak," katanya kepada Antarapos.
 
Bekas wakil rakyat PAS yang kini bersama parti lain adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli.
 
Husam merupakan Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) manakala Hatta adalah Ketua Pengarah Pilihanraya Amanah Nasional dan Kamaruddin pula menyertai PKR.
 
Menurut Wan Nik, jika mereka kembali bertanding di mana-mana kawasan di Kelantan mereka akan berdepan laluan sukar.
 
"Contohnya Ibrahim Ali sendiri, kalau dia tetap duduk di Pasir Mas dengan suasana yang ada itu sampai bila-bila pun tak akan menang.
 
"Begitu dengan Kamaruddin atau Hatta tak mungkin menang sebab pengalaman dah mengajar diri mereka," katanya.
 
Justeru bekas Ahli Parlimen Bachok menasihatkan mereka bertanding di kawasan lain yang boleh menjamin kemenangan mereka.
 
"Jadi Kalau nak selamat kena cari tempat (boleh menang) macam kes Datuk Husam," katanya.
 
Bertanding di kawasan yang boleh menjamin kemenangan
 
Ditanya mengenai kedudukan Husam yang merupakan tokoh penting di Kelantan, Wan Nik menegaskan tiada ruang serta peluang lagi untuk bekas exco itu bertapak di negeri itu.
 
"Bukan kata sukar, memang tak sepatutnya dia untuk bertanding di mana-mana kerusi di Kelantan.
 
"Kalau dia nak menang juga dia kena pergi ke Pantai Barat, Pulau Pinang, Perak atau Kuala Lumpur," katanya.
 
Mengulas lanjut Wan Nik berkata mana-mana bekas wakil rakyat PAS sudah tiada tempat di Kelantan.
 
"Jadi tempat-tempat begitu layak untuk Datuk Husam sebab dia sendiri adalah Naib Pengerusi Amanah Negara.
 
"Dia kena cari tempat yang boleh menyokong dia ataupun tempat dia boleh menang selain daripada Kelantan," katanya.
 
Malah beliau menambah kajian yang dijalankan menyaksikan mereka bukan kalangan yang menang sekiranya kembali bertanding di kawasan masing-masing.
 
"Sebab di Kelantan kita dapati dia bukan seorang yang menang," katanya.
 
 

Tiada ulasan: