Selasa, 11 Julai 2017

Bekas Calon CEC DAP Sahkan Wujud Penyelewengan Pemilihan 2012 & 2013





 Bekas calon Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengesahkan wujudnya penyelewengan pada pemilihan 15 Disember 2012 dan 29 September 2013.


Calon berkenaan, Zulkifli Mohd Noor berkata senarai pewakilan yang menyertai pemilihan semula pada 29 September 2013 tidak sama dengan senarai pemilihan 15 Disember 2012.

“Kalau DAP dah ikut arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS), mengapa ROS mahu mereka adakan pemilihan CEC semula? Jumlah perwakilan yang mengundi pada 2012 dan 2013 adalah jauh beza kerana pada pemilihan semula itu, wujud tambahan 120 cawangan yang tidak sah dan delegasi yang hadir juga bukan individu yang sama,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Zulkifli yang juga bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan bertanding dalam kedua-dua pemilihan itu, namun tewas.

Beliau tidak terkejut jika DAP menolak saranan RoS untuk mengadakan pemilihan semula kerana dibimbangi akan menerima tindak balas daripada orang-orang dipecat parti sebelum ini

“DAP sebenarnya takut, jika mereka terima arahan RoS itu, mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah seperti tindakan undang-undang daripada ahli yang disingkir, pertikaian wang parti, dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, Zulkifli mendakwa keputuan pemilihan semula pada 2013 sebenarnya telah dirancang awal oleh kem yang berkait rapat dengan Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng.

Katanya, terdapatnya satu senarai calon pilihan yang diedarkan oleh Guan Eng kepada perwakilan ketika proses pengundian berlangsung.

“Saya menyedari akan kalah kerana nama saya dan calon-calon Melayu tiada dalam menu calon pilihan Lim Guan Eng,” kata beliau dalam satu sidang media.

Tambahnya, yang lebih serius lagi terdapat 450 perwakilan hantu dari 120 cawangan baharu yang sepatutnya dari sijil B yang dikatogerikan tidak boleh mengundi telah ditukar status kepada sijil A yang dibenarkan mengundi semasa pemilihan semula CEC 2013.

Katanya pemilihan semula CEC pada 2013 itu sepatutnya berpandukan kepada senarai perwakilan dan jumlah cawangan pada tarikh 15 Disember 2012, namun telah ditambah dengan 450 perwakilan baharu pengundi hantu itu.

 “Pada pandangan saya dari sudut dalaman, penipuan kali ini lebih halus, licik dan dahsyat berbanding dengan pemilihan CEC pada 15 Disember 2012.

“Apakah ini bermaksud bahawa satu lagi penyelewengan berulang dengan kehadiran 450 perwakilan haram dari 120 cawangan yang asalnya dari kategori sijil B yang seharusnya menjadi pemerhati dan tidak layak menghantar perwakilan,” katanya dalam satu kenyataan.

“CEC juga tidak ada kuasa untuk meluluskan atau menaik taraf cawangan sijil B kepada sijil A pada tahun ini kerana CEC dianggap tidak sah oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS),” kata Zulkifli.

Beliau mendakwa undi sebenar yang diterima Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hanya sekitar 900 sahaja berbanding 1,304 undi jika tidak mendapat sokongan daripada 450 perwakilan haram itu.

Zulkifli yang pernah menjadi ahli DAP selama 26 tahun meletak jawatan dalam parti itu pada 2013 susulan pemilihan CEC yang dipenuhi kontroversi.

Beliau kemudiannya menubuhkan Parti Alternatif Rakyat (PAP) pada 2014.

Tiada ulasan: