Selasa, 11 Julai 2017

Apa Masalah Dengan Anjing Jika Kita Belai Penuh Kasih Sayang? – Pemuda Amanah

Caspian



Sejak beberapa hari yang lalu, telah menjadi tular di laman sosial tentang bagaimana beberapa orang muslimah dilihat memeluk mesra beberapa ekor anjing. Terlalu banyak komen negatif dilemparkan pada gambar berkenaan sehingga ada yang meminta mereka bertaubat.

Ketika ditanya dengan beberapa orang pemuda Amanah berhubung isu berkenaan, mereka menzahirkan perasaan pelik, kenapa isu sebegini harus diperbesarkan. Mereka mempersoalkan adakah isu anjing ini boleh meruntuhkan negara sedangkan lebih banyak isu besar lain yang harus diberi keutamaan.

Mereka yang enggan dikenali memberitahu, anjing sudah wujud sejak beribu tahun yang lalu dan menjadi antara haiwan yang begitu rapat dengan manusia. Haiwan ini juga merupakan antara haiwan yang setia dan kerap menjadi peneman buat manusia terutamanya dalam menjaga harta benda masing-masing.

Lihat sahaja bagaimana anggota polis bahagian K9 menggunakan anjing sebagai salah satu unit pengesan mereka. Lihat betapa pentingnya anjing dalam membantu orang kelainan upaya atau buta dalam menguruskan urusan seharian mereka.

Benar, dalam Islam, menyentuh anjing dalam keadaan basah atau terkena dengan air liur atau najis haiwan ini perlu di samak. Namun, jika diteliti pada gambar-gambar berkenaan, mereka menyentuh haiwan berkenaan dalam keadaan kering. Apa salahnya membelai bulu haiwan berkenaan?

Anjing juga seperti kucing yang mahu dibelai manja. Sudah menjadi naluri haiwan, haiwan juga mahu dilayan dengan baik dan apa yang dilakukan beberapa orang gadis ini wajar dipuji kerana menjaga haiwan ini dengan baik. Mereka tidak layak dikecam sebegitu rupa kerana Pemuda Amanah yakin, mereka tahu batas-batas dalam menguruskan anjing.

Berhentilah membesarkan isu yang tidak sepatutnya diperbesarkan. Mari kita beri tumpuan kepada permasalahan yang lebih besar yang boleh mengakibatkan jutaan rakyat Malaysia menerima tempiasnya.

Tiada ulasan: