Selasa, 11 Julai 2017

Anwar dakwa kaitan dirinya dengan insiden Lahad Datu sebagai fitnah serius

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) yang mengaitkan dirinya dengan serangan pengganas di Lahad Datu sebagai tuduhan yang serius dan bersifat fitnah.
 
Laporan menerusi berita pada 5 Mac 2013 disifatkan Anwar sebagai menjejaskan imejnya dan Pakatan Rakyat (PR), dan akhirnya menyebabkan rakyat keliru dengan propaganda apatah lagi ketika tempoh mendekati pilihan raya.
 
"Laporan itu menunjukkan seolah-olah saya seorang pengkhianat negara dan bersedia membenarkan pencerobohan ke atas negara saya sendiri.
 
"Laporan itu mencemar imej dan kredibiliti saya sebagai seorang pemimpin pembangkang.
 
"Mereka (TV3) tidak memberi saya sebarang peluang untuk menjawab sebaliknya terus menyerang saya.
 
"TV3 telah melanggar etika media, kesopanan, kebudayaan dan Islam," katanya.
 
Kenyataan itu diberikan Anwar pada hari ini dalam samannya terhadap stesen berkenaan.
 
Anwar menyaman stesen televisyen berkenaan sebanyak RM100 juta ekoran laporan Buletin Utama yang memetik berita Utusan Malaysia mendakwa beliau menjadi antara dalang di sebalik serangan pengganas di Sabah lebih empat tahun lalu.
 
Akhbar harian berkenaan sudah memohon maaf dan menarik balik laporan itu selepas Anwar memfailkan saman terhadap mereka pada Oktober tahun lalu.
 
 

Tiada ulasan: