Oleh Izmil Amri
Semalam saya berjabat tangan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Untuk kali ke berapa saya tidak ingat. Saya cium tangan tuanya dan ucap terima kasih.
Jam sudah menunjukkan lewat 12.30 tengah
malam. Sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan baru sahaja
selesai. Baru mencecah usia 92 tahun, beliau pasti sahaja keletihan;
duduk bermesyuarat sejak jam 8.50 malam.
Sisi gelap saya tiba-tiba berbisik jahat. “Hang tak rasa jijik ka salam cium tangan orang tua tu?”
Lama
juga saya duduk termangu dalam kereta sebelum beransur pulang.
Memikirkan hal itu - bagaimana Mahathir yang dahulunya saya benci, kini
menjadi orang yang saya hormati.
Ketika
perhimpunan BERSIH4 berlangsung di Dataran Merdeka, saya bertugas
menyelia media. Maka saya tidak turun ke lapangan. Sekonyong-konyong
tibalah berita bahawa Mahathir sudah mencemar duli, dan mahu berucap
kepada para demonstran.
Darah saya menyirap. Mana
mungkin punca segala gila ini diberi peluang naik ke pentas dan mencuri
tumpuan daripada tuntutan BERSIH yang tidak disokongnya. Jangan
benarkan dia berucap, tegas saya.
Keesokannya
Mahathir datang lagi, mengulang mesej serupa. Hadir tidak kerana
menyokong tuntutan BERSIH, tetapi untuk bersama orang ramai yang mahu
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilengser. Tersudut dan tidak
diberi ruang oleh para aktivis, Mahathir sekadar bikin sidang media.
Mana
pula kita menyangka Mahathir akan duduk semeja dengan bekas-bekas
banduan bawah tahanan ISA yang dikurungnya, menandatangani Deklarasi
Rakyat. Macam orang bodoh juga saya ke acara itu. Dengan panas berkuap,
ruang dipenuhi wartawan; saya hanya mendengar suaranya sahaja
menuturkan tuntutan reformasi institusi.
Saya ketawa
berdekah. Dunia sudah terbalik. Mahathir sudah jadi pembangkang. Dan
dengan bertukarnya Mahathir menjadi pembangkang, maka bermulalah
dekonstruksi segala yang telah terbina dengan dua tangan yang baru saya
salam itu. Tidak kiralah yang buruk mahu pun yang baik.
Kemuncak
dekonstruksi ini saya rasakan bermula dengan perhimpunan BERSIH
5,ketika Mahathir dikhabarkan tidak akan hadir kerana berada di luar
negara. Mahathir ternyata muncul, turun dari pesawat siap dengan kemeja
T BERSIH5 dan memberi ucap Utama ketika finale perhimpunan tersebut di perkarangan KLCC; bangunan ikonik yang direkanya sendiri.
Karat dosa
Itu
kemudiannya disusuli penubuhan parti cap bunga raya bagi gerombolan
yang meninggalkan Umno, dan kemudian diikuti aksi-aksi bersama pimpinan
Pakatan Harapan, menafikan fitnah-fitnah lampau dan berkemuncak dengan
gambar bersalaman dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah.
Mahathir
ternyata melalui jalan panjang untuk membasuh karat dosa-dosa lalu.
Entah berapa baldi ludahnya sepanjang puluhan tahu terhadap parti-parti
pembangkang telah ditogoknya semula. Berapa berat pula ego yang perlu
dibuangnya untuk duduk sebaris bersama musuh-musuh lama yang pernah
disumbat ke penjara.
Pada usia 92 tahun, Mahathir
telah menyaksikan negara ini dibangun dari puing dan debu sehingga
menjadi apa yang kita saksikan hari ini. Dua puluh tahun menjadi kepala
negara, Mahathir kini sedang merungkai sendiri simpul mati yang
diikatnya sendiri dengan tangan tua itu.
Semua ini saya kira adalah ritual istighasah
bagi seorang Mahathir, untuk membersihkan dosa dan kesilapan lampau
sebelum mewariskan negara kepada anak cucu cicit yang bakal menyusul.
Tangannya
yang membina, tangan itu jugalah yang meruntuh. Tangan itulah juga
barangkali yang akan melayangkan panah Arjuna tepat ke dada para
kleptokrat yang sedang tenggelam dalam kemabukan kuasa di Putrajaya.
Apa kena mengena panah Arjuna dan Mahathir?
Dalam
hikayat Mahabharata, ketika perang Bharatayuddha, Arjuna, salah
seorang Pandawa Lima menggunakan senjata busur dan anak panah Rudra.
Peperangan masuk hari ketujuh belas, dan Arjuna terlibat dalam pertempuran sengit melawan Karna, panglima pihak Korawa.
Sedang
saling menyerang, ditakdirkan kereta kuda Karna telah terperosok ke
dalam sebuah lubang. Karna kemudian terpaksa turun dari pedatinya itu
bagi mengangkatnya keluar dari lubang tersebut.
Arjuna,
mematuhi peraturan pertarungan menghentikan bedilannya, sementara
Karna selesai membebaskan pedatinya yang tersangkut. Pada ketika itu,
Krishna yang menjadi ‘kusir’ pedati perang Arjuna mengingatkan si
Pandawa itu tentang kematian tragis anaknya, Abimanyu yang terkorban
pada hari ketiga belas.
Abimanyu terbunuh dalam
keadaan tidak bersenjata dan tanpa kenderaan. Kepalanya dihentak hancur
berkecai setelah kuda dan kusirnya dibunuh, dan perisainya habis
luluh.
Berhadapan pergolakan antara emosi dan
pertimbangan akal, Arjuna melepaskan anak panahnya tepat ke tenggorok
Karna, lalu menembus kepalanya.
Dari illuminati kepada Star Trek
Pakatan Harapan semalam menampilkan lambangnya yang baru dipersetujui setelah cadangan terdahulu ditolak mentah-mentah kerana buruk yang amat. Lambang yang baru ini meletakkan suatu bentuk seperti anak panah di tengah-tengah kata HARAPAN, menggantikan huruf A.
Pakatan Harapan semalam menampilkan lambangnya yang baru dipersetujui setelah cadangan terdahulu ditolak mentah-mentah kerana buruk yang amat. Lambang yang baru ini meletakkan suatu bentuk seperti anak panah di tengah-tengah kata HARAPAN, menggantikan huruf A.
Meski
disebut orang sebagai simbol illuminati, bukit, Star Trek, ciplak logo
Parti Demokrat Singapura dan sebagainya, saya melihat simbol di
tengah-tengah itu sebagai sebilah anak panah.
Seakan-akan kena dengan seloka yang ditulis arwah Adlan Benan Omar pada tahun 1992:
Kulayangkan panah ke udara
Hilangnya jatuh entah ke mana
Nun jauh di kebun getah
Bila kuambil tak jua patah
Hilangnya jatuh entah ke mana
Nun jauh di kebun getah
Bila kuambil tak jua patah
Memang
canggung sebenarnya melihat semua ini. Seloka orang Anwar, bagai
perekat mencantum kembali carik-carik bulu ayam sejak hampir dua puluh
tahun lampau. Akhirnya biduk lalu, kiambang bertaut. Anwar dan Mahathir
kembali bersama di baris depan pertempuran Kurukshetra, menentang
saudara lama yang kini gelong mabuk kuasa.
‘United
Front’ parti-parti pembangkang dengan panji-panji merah berhias anak
panah, berdepan gabungan BN. Tiada yang lebih ‘epik’ dari ini dalam
sejarah pertempuran politik di Malaysia.
Cuma tidaklah ‘epik’ macam
Mahabharata.
Semalam, saya melihat Tun
perlahan-lahan mengatur tapak menuju keretanya dengan nombor
pendaftaran W2020M. Beliau sebelum itu memandang sekeliling ke arah
ramainya orang yang baru turun dari ibu pejabat PKR itu.
Saya
merenung matanya agak lama. Sedikit sayu barangkali, melihat mata
tuanya yang berkaca.
Mata yang sama telah melihat legasi pemerintahan
lampau dicemari anak didik sendiri yang kini harus diperangi
habis-habisan. Sepasang mata itu semalam kelihatan cuba merakam sejarah
yang tidak pernah beliau sendiri impikan.
Sejarah
di mana seorang Mahathir memihak kepada pembangkang, mengatur gerak
menuju pilihanraya; untuk menewaskan parti yang dibinanya sendiri
dengan tangan tua yang saya ciumi itu.
Tiada yang
jijik tentang mencium tangan Mahathir. Generasi saya dan yang
seterusnya lahir di zaman Mahathir diangkat sang dewata raya yang penuh
berjasa kepada bangsa dan negara. Meski tangannya itu terpalit nista
Reformasi 1998; saya kira tindakannya sepanjang waktu ini sudah lebih
dari cukup untuk membasuh segala cela dan daki.
Tidaklah saya mengatakan bahawa tangan Mahathir itu suci murni.
Tetapi
jika ada yang masih mendesak orang tua itu untuk melutut memohon maaf
setelah segala yang dia lakukan setakat ini; saya kira itu
melebih-lebih dan suatu kekejaman.
Tangan itu
sekarang sedang menggamit kita semua untuk menyelamatkan negara. Kalau
hanya kerana itu tangan Mahathir maka kita berpaling; maka kitalah yang
sebenarnya jijik dan celaka.
IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan