Ahad, 2 Julai 2017

Amanah Johor mahu imigresen kenal pasti sindiket bawa masuk Pati


Aminolhuda Hassan

 MALAYSIA DATELINE

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor merakam ucapan tahniah kepada Jabatan Imigresen Negeri Johor yang berjaya menahan seramai 315 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam Ops Mega yang dijalankan bermula semalam.

Pengerusinya Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya berbangga terhadap tindakan anggota jabatan imigresen yang bertungkus lumus menjayakan Ops Mega tersebut sekali gus menyelamatkan negara dari dibanjiri oleh Pati.

"Pihak kami juga khuatir terhdap Pati yang tidak tahu apa niat mereka hadir ke negara ini dan atas tujuan apa kerana rekod mengenai diri mereka tidak diketahui oleh pihak keselamatan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 315 pendatang tanpa izin (Pati) termasuk 20 wanita ditahan Jabatan Imigresen Johor dalam Ops Mega, semalam selepas tamat tempoh pendaftaran E-Kad yang berakhir kelmarin.

Pengarah imigresen negeri, Datuk Rohaizi Bahari berkata, mereka ditahan selepas pemeriksaan dijalankan terhadap 680 pekerja asing di tiga premis kilang plastik di Kawasan Perindustrian Taman Gembira, dekat Tampoi.

Aminolhuda yang juga Adun Parit Yaani juga mencadangkan mana-mana Pati yang ditahan direkodkan butiran diri mereka dan dipantau serta pihak berkuasa mesti memastikan mereka tidak memasuki semula negara ini selepas dihantar pulang.

"Pihak kami juga mencadangkan agar pihak jabatan imigresen mengenal pasti akan kepala sindiket memasukkan Pati ini kerana mereka adalah golongan yang bertanggungjawab membawa masuk Pati ini secara haram serta untuk penambah baikkan Ops Mega ini adalah dengan membanteras kumpulan sindiket ini pula," katanya.

Tambah beliau, Ops Mega yang dijalankan bermula dalam bulan ini menunjukkan komitmen yang baik bagi melindungi negara daripada segala macam bentuk ancaman dari pihak luar.

Tiada ulasan: