Isnin, 24 Julai 2017

Agenda Borneo terus diperjuang, DAP sanggah dakwaan komponen BN Sabah


Roketkini.com

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (HARAPAN) sama sekali tidak akan meminggirkan agenda perjuangan Borneo malah komitmen itu telah banyak kali disuarakan tegas Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin.

Komitmen HARAPAN itu katanya menjunjung semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melibatkan autonomi pentadbiran bagi Sabah dan Sarawak.

Ini katanya termasuk pemberian 20 peratus royalti minyak dan pengembalian 50 peratus cukai kepada dua wilayah itu dari Kerajaan Persekutuan.

Chan berkata demikian menyanggah kenyataan Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP-
Barisan Nasional), Datuk Chin Shu Ying baru-baru ini yang menggambarkan Sabah telah dipinggirkan kerana ketiadaan pemimpin Sabah dalam Majlis Presiden HARAPAN.

“Mungkin dia (Chin) sudah ketandusan idea apabila buat dakwaan begitu seolah-olah macam baru masuk politik.

“Masih terlalu awal untuk mendakwa tidak akan ada pemimpin Sabah dalam majlis presiden Pakatan Harapan,” kata Chan yang juga Adun Sri Tanjung.

Beliau meletakkan keyakinan bahawa wakil Sabah akan dilantik sebaik sahaja Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan gabungan itu.

Menurut Chan, rakyat Malaysia yang sebenar tidak sama sekali akan menggadai kepentingan Sabah dan Sarawak meskipun bukan berasal dari dua wilayah berkenaan.

Malah, ia telah dibuktikan sendiri oleh DAP apabila pemimpin veterannya, Lim Kit Siang tegas membantah pindaan perlembagaan yang telah menyebabkan status dua wilayah itu menjadi sebahagian dari 13 negeri pada tahun 1976.

“Beliau (Lim Kit Siang) merupakan Ahli Parlimen pertama yang membangkitkan isu Batu Sumpah, dan sekarang individu yang lantang mendesak supaya Tan Sri Richard Malanjun menjadi Ketua Hakim Negara dari Malaysia Timur.

“Sebaliknya, apa yang telah dilakukan oleh pemimpin parti komponen BN demi Sabah dan Sarawak dalam hal ini?” soal Chan.

Sikap berdiam diri pemimpin BN Sabah menunjukkan mereka sekadar memegang pelbagai jawatan tertinggi parti dan kerajaan, namun tidak mampu untuk bersuara.

“Dengan pemusatan kuasa di tangan UMNO, ia tidak memberikan sebarang makna walaupun ada orang Sabah memegang jawatan penting dalam BN.

“Adakah pelantikan Datuk Seri Salleh Keruak sebagai Bendahari BN secara automatik menjadikan BN mengembalikan semua hak-hak Sabah?” soalnya.

Tambah beliau, meskipun terdapat ramai pemimpin Sabah dan Sarawak menduduki jawatan tertinggi parti dan kerajaan, tidak seorang pun mereka mampu mempertahankan hak Sabah dan Sarawak.

“Mereka juga telah gagal menghentikan sebarang rang undang-undang yang bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963, sama seperti isu temelibatkan Cukai Pelancongan baru-baru ini,” ujarnya.

Dalam perkara ini, Chan mengingatkan pemimpin komponen BN itu bahawa semangat perkongsian setara adalah jauh lebih mustahak dari jumlah bilangan wakil dalam gabungan politik.

Beliau dalam masa yang sama menyanggah dakwaan kononnya telah diserapi dengan ‘mentaliti Malaya’.

“Pemikiran saya adalah pemikiran Malaysia sebagaimana yang menjadi pegangan DaP. Saya sentiasa ingat prinsip asas yang dipegang Lim Kit Siang sebagai seorang yang patriotic bahawa Malaysia adalah milik rakyat Malaysia,” katanya lagi. -Roketkini.com


Tiada ulasan: