Khamis, 20 Julai 2017

500,000 tak sedar hidap Hepatitis C

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menganggarkan kira-kira 500,000 penduduk di negara ini tidak menyedari mereka menghidap penyakit Hepatitis C.
 
Berdasarkan statistik, Malaysia merekodkan peningkatan kadar Hepatitis C dari 3.71 peratus pada tahun 2009 kepada 8.69 peratus tahun lalu. 
 
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramanian, berkata jumlah itu amat membimbangkan kerana penyakit berkenaan berisiko tinggi dan jika tidak dipandang serius, ia mampu mengakibatkan seseorang dijangkiti penyakit hati kronik sehingga boleh menyebabkan kematian.
 
Katanya, punca utama adalah kos diagnosis dan rawatan yang terlalu tinggi membebankan individu untuk melakukan saringan awal.
 
"Ada keperluan supaya mereka guna kemudahan dan saringan di agensi perubatan termasuk yang disediakan Kementerian Kesihatan. Ini membantu mengenal pasti mereka ada penyakit atau tidak.
 
"Ada ubat yang boleh digunakan untuk rawatan. Meskipun ubat itu sangat mahal buat masa sekarang, kerajaan sedang berusaha menerusi beberapa langkah dan kerjasama dengan agensi antarabangsa untuk wujudkan satu formula yang boleh kurangkan kos rawatan penyakit ini.
 
"Kita harapkan ini (formula) boleh jadi satu rawatan yang mungkin dapat menjayakan usaha itu dan boleh kurangkan kos rawatan Hepatitis C beberapa kali ganda," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar The 12th Liver Update 2017 anjuran Yayasan Herpa Malaysia di sini, hari ini.
 
Yang turut hadir bekas Menteri Kesihatan Tan Sri Dr Chua Soi Lek dan Pengerusi Yayasan Herpa Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.
 
Mengulas mengenai formula rawatan, beliau berkata, kementerian bercadang mengurangkan kos rawatan penyakit Hepatitis C dari RM40,000 kepada RM1,000 dan kajian mungkin dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun lagi.
 
Katanya, jika formula ini dapat direalisasikan, rawatan boleh ditawarkan kepada jumlah pesakit secara lebih meluas.
 
 

Tiada ulasan: