Selasa, 18 Julai 2017

1MDB: Harapan akan soal AG sembunyi bukti jenayah, kata Tun M

 HAZAYANI ZAKARIA

Mahathir ceramah perdana Harapan


Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali akan disoal sama ada beliau menyembunyikan bukti jenayah berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya Pakatan Harapan (Harapan) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Apandi boleh didakwa menyembunyikan bukti jenayah mengenai 1MDB dan perlakuan jenayah tidak harus disembunyikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana ia bukan rahsia kerajaan.

"Saya bukan peguam. Tapi saya tahu jenayah bukan OSA. Dan bila ia jenayah, kena lapor bukan kena sembunyi.

"Peguam negara lakukan kesalahan besar sembunyikan bukti jenayah. Satu hari dia kena jawab, sebab itu kita kena menang.

"Kita boleh tanya, hei AG, kau buat salah jenayah ke?"

"Satu hari dia kena jawab itu. Sebab itu kita kena menang. Jadi kalau nak tahu AG buat salah atau tidak, kita kena menang," katanya dalam ceramah perdana "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi" di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, malam tadi.

'Najib bukan pahlawan Bugis tapi lanun'

Mahathir dalam ucapannya juga menyeru keempat-empat parti dalam Harapan agar menetapkan satu matlamat iaitu menjatuhkan kerajaan kleptokrasi.

Beliau berkata, Harapan mesti membentuk kerajaan bagi menggantikan karajaan BN selepas PRU14.

Ceramah perdana harapan pimpinan

"Saya kena cari jalan untuk jatuhkan penyangak ini. Untuk lawan penyangak kita kena kuat. Satu parti sahaja tak boleh kuat sebab itu kita bergabung empat parti.

"Kita kena cari satu matlamat sahaja. Objektif kita empat buah parti ini untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi. Ini adalah matlamat bersama Pakatan Harapan. Tak ada soal berlainan pendapat.

"Kita kena dirikan kerajaan yang dianggotai empat buah parti ini," katanya yang juga Pengerusi Bersatu.

Beliau secara berseloroh berkata, tiada siapa di dalam dewan itu memberitahunya sebelum ini bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ialah 'lanun'.

"Saya lantik dia dulu sebab dia anak Tun Abdul Razak. Saya fikir takkanlah anak Tun Razak yang begitu banyak jasanya kepada negara bersikap seperti penyangak.

"Tak ada orang dalam dewan ini bagitahu saya dia seoarang lanun. Tapi bila dah dapat kuasa, dia mula jadi penyangak. Dulu bukan main baik.

"Dia kata di pahlawan Bugis tapi dia bukan pahlawan, tapi lanun. Sifat yang ada pada lanun ialah menyamun," katanya.

Tiada ulasan: