Isnin, 12 Jun 2017

Virus zika di Singapura: M’sia ketat saringan kesihatan

 Bernama

Setakat ini tiada laporan berhubung jangkitan virus bawaan nyamuk itu membabitkan rakyat negara ini

BALIK PULAU: Malaysia memperketat ujian saringan kesihatan di semua pintu masuk negara terutama di Johor susulan laporan dua kes baharu virus zika di Singapura.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Hilmi Yahaya berkata setakat ini tiada laporan berhubung jangkitan virus bawaan nyamuk itu membabitkan rakyat negara ini.

“Saya mahu pihak Jabatan Kesihatan negeri Johor lebih berhati-hati dan peka serta membuat pemantauan yang lebih ketat terutama di pintu masuk Malaysia-Singapuara, kena ambil tindakan ‘health alert’, pengawasan kesihatan.

“Kita ada alat pengesan suhu badan yang boleh kesan mereka yang demam di pintu masuk negara di Johor dan kalau ada kes (zika) pegawai kesihatan perlu ambil tindakan sewajarnya,”  katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Fakir Miskin Sempena Ramadan Dalam Parlimen Balik Pulau di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 850 orang menerima bantuan wang tunai, beras dan barang keperluan lain.
Semalam, Singapura mengesahkan dua kes baharu virus zika, menjadikan jumlah kes yang dilaporkan di negara itu kepada lapan.

Pada September tahun lepas seorang wanita dari Bandar Botanic, Klang, Selangor menjadi individu pertama di Malaysia dijangkiti virus zika selepas berkunjung ke Singapura selama tiga hari untuk melawat anaknya yang turut dijangkiti virus berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau menafikan Kementerian Kesihatan melarang penjual kurma menjual buah berkenaan dari satu jenama popular yang didakwa terdapat ulat seperti yang ditularkan di media sosial.

“Saya dapat aduan yang memaklumkan pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) memberitahu kepada penjual kurma supaya tidak menjual buah dari jenama popular itu kerana mempunyai ulat.

“Sebenarnya kementerian (kesihatan) tidak pernah mengeluarkan larangan berhubung perkara itu lagipun kami telah membuat pemeriksaan di gudang kurma milik syarikat tersebut dan tidak menemui ulat seperti tular sebelum ini.

“Jika ada pun mungkin ada pihak yang menyamar sebagai pegawai JKN atau syarikat pesaing menjual kurma.Tetapi kalau peniaga (kurma) didatangi pegawai JKN yang melarang mereka menjual buah itu, mereka boleh buat laporan kepada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata sebenarnya ulat itu juga tidak memudaratkan kesihatan ia sama seperti ulat yang terdapat di dalam buah-buahan seperti durian dan mangga.

Tiada ulasan: