Jumaat, 30 Jun 2017

UniMAP temui kaedah tanam Harumanis luar musim


ISMA WEB


PADANG BESAR – Satu kajian yang membawa dimensi baharu dalam pertanian menerusi teknologi rumah hijau dikenal pasti mampu mengeluarkan Harumanis sepanjang tahun tanpa mengira musim.

Pengarah Institut Agroteknologi Lestari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Mahmad Nor Jaafar berkata kajian tersebut menggunakan kaedah intensifikasi pertanian pintar iklim, yang mana ia boleh mengawal produktiviti Harumanis mengikut permintaan.

“UniMAP telah mengetengahkan gabungan teknologi rumah hijau untuk merangsang proses pertumbuhan mangga itu dapat berlaku secara tidak bermusim.

“Penyelidikan yang dijalankan juga telah membuktikan bahawa Harumanis boleh hidup subur di dalam rumah hijau dan pengeluarannya boleh dijadualkan seperti yang dikehendaki,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, walaupun teknologi ini memerlukan pelaburan yang tinggi, namun ia dilihat lebih berkesan untuk sektor berkenaan kerana mampu mengeluarkan hasil yang lebih tinggi.

“Ia dijangka akan mengubah industri mangga di Perlis dari juta ke bilion Ringgit Malaysia, dan seterusnya meningkatkan kelestarian pertanian di negeri ini ke tahap yang lebih baik.

“Kualiti buah-buahnya juga dilihat adalah lebih baik daripada teknologi sedia ada dari segi keseragaman rupa, tekstur dan tahap kemanisannya selain selamat daripada serangan serangga perosak,” kata Mahmad Nor.

Beliau berkata, komponen penting dalam proses penanaman Harumanis ialah iklim dan ekologi semulajadi yang sesuai untuk menyokong penghasilan buah berkualiti tinggi.

Menerusi kaedah penanaman di dalam rumah hijau itu, faktor untuk pokok mengeluarkan bunga menerusi cuaca panas dan kering sewaktu siang secara berterusan selama tiga bulan serta keadaan berangin sejuk pada sebelah malam mampu dikawal, katanya.

Selain itu katanya, tempoh matang untuk sesuai dipetik bagi mangga itu akan lebih seragam kerana suhu dan kelembapannya lebih terkawal menerusi penggunaan kaedah tersebut.

Mahmad Nor berkata, buah untuk pasaran dalam dan luar negara perlulah dipungut dengan amat berhati-hati.

Penentuan ‘Masa terbaik untuk petik dan masa terbaik untuk makan’ bergantung kepada kesan iklim di musim berbuah, bukanlah perkara yang mudah ditentukan.

“Dalam musim biasa yang mana peredaran cuaca tidak terganggu, panduan menuai Harumanis yang matang adalah antara tujuh hingga lapan minggu selepas dibungkus ketika buah sebesar saiz telur ayam. 

“Namun ketika cuaca tidak menentu dan lebih banyak hujan, tempoh untuk buah matang lebih panjang sekitar sembilan atau 10 minggu sebelum sesuai dipetik agar tidak menjejas keaslian tekstur dan rasa buahnya,” jelasnya.

Ditanya sama ada teknologi ini sesuai diaplikasi di kawasan selain di Perlis, beliau berkata, ia memerlukan kajian lebih terperinci kerana kaedah rumah hijau ini masih memerlukan sokongan iklim dan ekologi semulajadi yang sesuai. – Bernama


Tiada ulasan: