Isnin, 12 Jun 2017

Tujuh lelaki ditahan ceroboh kawasan larangan taman laut


Tujuh lelaki berumur di antara 40 dan 60 tahun ditahan kerana menceroboh kawasan Taman Laut Pulau Babi Hujong dan Pulau Babi Besar yang diwartakan sebagai zon larangan di Mersing, dekat Johor Bahru awal hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata penahanan itu dilakukan bermula 10 pagi di kedudukan masing-masing 0.2 batu nautika dari Pulau Babi Hujong dan 1.48 batu nautika dari Pulau Babi Besar.

Menurut Ayub, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot memiliki 12 unit alat memancing dan kesemua tahanan telah dibawa ke Pangkalan Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor untuk tindakan lanjut.

Peralatan dan dua bot bersama enjinnya juga akan disita, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan larangan taman laut.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Saya mengingatkan kepada semua pihak agar tidak memasuki Taman Laut kerana ia merupakan zon larangan untuk sebarang aktiviti. Pihak berkuasa akan sentiasa memantau dan tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang melanggar arahan ini.

"Ini bagi memastikan kawasan Taman Laut sentiasa bebas daripada gangguan serta biodiversiti marinnya dilindungi," kata beliau dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.-Bernama


Tiada ulasan: