Ahad, 4 Jun 2017

Tiada rakyat M’sia terbabit dalam serangan di Resorts World Manila

THE MALAYSIAN TIMES



PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden serangan di Resorts World Manila, Filipina hari ini, yang mengakibatkan mereka yang tidak bersalah terbunuh, cedera dan harta benda musnah, kata Wisma Putra.

Mengesahkan perkara itu dalam kenyataan di sini, hari ini,  Kementerian Luar itu berkata Kedutaan Malaysia di Manila memantau insiden itu dengan pihak berkuasa tempatan.

Kementerian menasihatkan rakyat  Malaysia di negara itu agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa Filipina.

Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan pihak kedutaan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Manila di talian 00 (632) 662 8200 / 00 (63) 917 864 0761 (selepas waktu bekerja) atau  e-mel di mwmanila@kln.gov.my.

Pada awal pagi Jumaat, dilaporkan 36 orang terbunuh di kasino di  Manila itu apabila seorang lelaki  bersenjatakan raifal  melepaskan tembakan secara rambang dan membakar meja-meja judi.

Tiada ulasan: