Sabtu, 3 Jun 2017

Tiada masalah PRK DUN Nenggiri tak diadakan - YDP PAS Gua Musang

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Kawasan Gua Musang menyerahkan kepada kepemimpinan negeri untuk menentukan sama ada pilihan raya kecil  Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri perlu diadakan atau sebaliknya.
 
Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad berkata beliau bersikap terbuka selain menerima apa jua keputusan diputuskan parti.
 
"Kita tunggu keputusan daripada kepimpinan negeri.
 
"Kalau pimpinan negeri kata meletakkan calon, kita akan letak calon dan kalau pimpinan negeri kata tidak meletakkan calon maka kita tak meletakkan calon," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau juga berpandangan pilihan raya kecil DUN Nenggiri tidak perlu diadakan kerana sudah melebihi tempoh tiga tahun selain Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dijangka semakin hampir.
 
"Bagi saya oleh kerana kita dah hampir nak pilihan raya umum dan tempoh 36 bulan pun dah berlalu maka kita cadangkan tidak ada pilihan raya kecillah sebab dah hampir dengan pilihan raya umum.
 
"Tidak ada masalah cuma kita tunggu arahan daripada pimpinan negeri," katanya.
 
DUN Nenggiri diisytiharkan kosong selepas ADUN Nenggiri dari Barisan Nasional (BN) Datuk Mat Yusoff Abd Ghani hilang kelayakan memegang jawatan tersebut berikutan berstatus muflis.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Abdulah Ya'kub untuk menentukan sama ada ingin mengadakan pilihan raya kecil DUN Nenggiri atau sebaliknya.
 
Ditanya bila PAS Kelantan akan bermesyuarat bagi membincangkan perkara itu, Azman berkata setakat ini pimpinan negeri belum mengadakan pertemuan.
 
"Setakat ini belum tahu lagilah bila pimpinan negeri akan buat mesyuarat," katanya.
 
Beliau menambah kawasan itu mempunyai ramai pemimpin berkaliber yang layak untuk diletakkan sebagai calon dan terpulang kepada kepemimpinan parti untuk menentukannya.
 
"Kita serah kepada pimpinan negeri, memang calon itu ada.
 
"Cuma apa-apa keputusan kita tunggu arahan daripada negeri dulu," katanya.
 
 

Tiada ulasan: