Khamis, 8 Jun 2017

Teresa nafi terlibat Perhimpunan Jubli Jerusalem


teresa kok

MALAYSIA DATELINE

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menafikan dan mengutuk dakwaan bahawa beliau terlibat dalam Perhimpunan Jubli Jerusalem.

Teresa berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai program tersebut yang dirancang berlangsung di Melaka dan tidak mempunyai keinginan untuk pergi.

“Saya juga berasa hairan dan marah kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengheret nama saya dalam perkara ini," katanya.

Justeru beliau yang juga ahli Parlimen Seputeh membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield semalam bagi menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) menyiasat pihak yang betanggungjawab membuat tuduhan itu.

Menurut beliau juga, berita mengaitkan dirinya itu bertujuan memburuk-burukkan imej DAP dan beliau selaku ahli parlimen.

"Adalah amat menyedihkan ada pihak tertentu sengaja menggunakan bulan Ramadan untuk menyebarkan fitnah dan berita palsu terhadap saya, kerana ini bukanlah kali pertama saya difitnah dalam bulan Ramadan.

"Pada September 2008, saya ditahan di bawah ISA selama tujuh hari akibat fitnah kononnya saya melarang azan di Bandar Kinrara Puchong.

"Pada Ogos 2013, saya juga telah buat laporan polis berhubung dakwaan fitnah kononnya saya meminta wang zakat diberi kepada orang Cina oleh blogger pro-Umno," katanya.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan polis mengharamkan perhimpunan itu yang dijadualkan diadakan pada 15-18 Jun di Melaka, walaupun penganjur sudah memutuskan untuk membatalkan acara itu setelah mendapat bantahan orang ramai.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC) dipetik sebagai berkata, perhimpunan itu ialah upacara sembahyang menghimpunkan penganut Kristian dari Malaysia dan Asia Pasifik, dan menafikan dakwaan Pas yang ia bertujuan mempromosi 'Kristianiti Zionis' dan 'Budaya Yahudi'.

Tiada ulasan: