Jumaat, 2 Jun 2017

Sindiket jual kanak-kanak Rohingya bernilai sehingga RM1,500

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak etnik Rohingya dijual antara RM1,200 hingga RM1,500 menerusi satu sindiket yang akhirnya digunakan bagi tujuan mengemis.
 
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superitendan Habibi Majinji berkata pihak polis berjaya membongkar salahlaku berkenaan pada semalam di Jalan Hang Kasturi dan menyelamatkan tujuh kanak-kanak lelaki dan perempuan.
 
Turut diselamatkan pasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi adalah dua remaja lelaki.
 
Manakala enam individu warga Myanmar terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 30 tahun dipercayai dalang utama sindiket itu telah ditahan.
 
"Polis turut merampas lima buah buku catatan aktiviti penjualan kanak-kanak, enam buah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM12,400 dipercayai hasil jualan," katanya dalam sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, berdasarkan semakan ke atas buku catatan itu, seramai enam individu telah dijual oleh sindiket ini.
 
"Suspek mengambil mangsa di kawasan di utara tanah air dan membawanya ke ibu kota sebelum mengurung mangsa.
 
"Sekiranya ada permintaan mangsa akan dijual mengikut harga tertentu," katanya.
 
Habibi dalam pada itu menambah kumpulan itu menjadi dalang kepada pihak lain untuk menjalankan kegiatan memintan sedekah.
 
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. 


Tiada ulasan: