Rabu, 7 Jun 2017

Siasat SPRM beri kesan besar terhadap kegiatan judi haram di Melaka

Bernama
 
Tindakan daripada pihak SPRM itu telah memberikan kesan dan daripada laporan yang diterima bahawa pengusaha judi haram telah menutup perniagaan mereka bukan hanya di negeri Melaka malah di negeri lain

MELAKA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ketirisan dan rasuah dalam kegiatan judi haram memberikan kesan besar apabila kegiatan itu dilihat semakin sepi di negeri ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diberitahu hari ini.

Ketua Menteri Idris Haron berkata selepas tindakan diambil oleh SPRM, serbuan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati tiada lagi premis perjudian haram beroperasi di kawasan ‘hot spot’ kegiatan itu.

“Saya yakin dan percaya bahawa tindakan daripada pihak SPRM itu telah memberikan kesan dan daripada laporan yang diterima bahawa pengusaha judi haram telah menutup perniagaan mereka bukan hanya di negeri Melaka malah di negeri lain.

“Bila kita ke lokasi keadaan sunyi sepi ibarat padang jarak, padang terkukur,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Lim Jak Wong (Bebas-Bachang) mengenai langkah seterusnya yang diambil kerajaan selepas siasatan itu bagi membenteras judi haram di Melaka.

Beliau berkata tindakan SPRM itu berkesan secara langsung dan memberi satu tanda bahawa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan serius dalam menangani isu perjudian haram dan mengambil tindakan udang-undang yang tegas terhadap pelindung judi haram.

Idris berkata dalam serbuan yang dilakukan sebelum siasatan SPRM itu seolah-olah terdapat ketirisan dan kebocoran apabila penguat kuasa gagal menemui chip perjudian pada komputer yang dirampas di pusat perjudian haram.

“Kerajaan negeri beri kuasa kepada PBT untuk memotong bekalan elektrik di premis perjudian namun mereka (pengusaha judi) ini ibarat seperti tupai yang pandai melompat apabila kita potong elektrik mereka pakai bateri dan ada serbuan yang dilakukan mendapati pusat itu dikosongkan,” katanya.

Ketika menjawab soalan asal Lim mengenai statistik serbuan dan tangkapan kegiatan itu oleh pihak polis, beliau berkata sebanyak 108 serbuan telah dilakukan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dengan 108 tangkapan dibuat dan 1,034 unit komputer telah dirampas.— Bernama

Tiada ulasan: