Sabtu, 10 Jun 2017

Siapa ‘tangan ghaib’ lombong emas haram di Pahang?


Oleh : Haf iz Zaiduddin

TEMERLOH: Pakatan Harapan (PH) Pahang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran aktiviti perlombongan emas secara haram seluas 1.6 hektar dalam Hutan Simpan Lakum yang didedahkan media baru-baru ini.

Aduan tersebut diserahkan kepada Pegawai Kanan SPRM Cawangan Temerloh Nurazlin Samaredin ditandatangani oleh enam wakil Adun dan pemimpin PH Temerloh.

Apa yang menjadi persoalan, permohonan sebuah syarikat untuk melombong emas di kawasan berkenaan pernah ditolak oleh kerajaan negeri dan mendapat bantahan penduduk di situ pada tahun sejak 2009.

Pakatan Harapan Temerloh bersama Tengku Zulpuri membuat laporan SPRM pagi tadi berhubung aktiviti melombong haram yang berlaku di Hutan Simpan Lakum.

“Pakatan Harapan Temerloh mengesyaki wujud salah guna kuasa atau ada tangan ‘tangan ghaib’ yang mengawal mereka?” soal laporan itu.

Ia juga menyebut seolah-olah wujud kekeliruan bidang kuasa penguatkuasaan agensi berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS).

“Kami mendesak SPRM menyiasat kes ini tanpa campur tangan pihak politik lebih-lebih lagi ianya melibatkan Hutan Simpan dan tempat pelancongan,” kata mereka.

Lombong emas haram bukan isu baru

Perlombongan emas secara haram di Hutan Simpan Lakum seperti didedahkan media baru-baru ini bukanlah pertama kali dibangkitkan kepada umum.

Perkara itu pernah disuarakan Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji dalam Sidang DUN Pahang pada 17 Mei tahun lalu menggesa supaya siasatan dijalankan.

Mengulas perkara itu kepada Roketkini, Tengku Zul berkata walaupun isu berkenaan telah didedahkan sejak tahun lalu lagi namun tiada sebarang tindakan diambil.

“Mungkin ada orang politik terlibat, jadi, kita harap SPRM serius siasat perkara ini, jangan pilih kasih dalam menjaga kepentingan rakyat,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Pahang.

Kegagalan kerajaan UMNO Pahang memantau dan bertindak segera terhadap perlombongan haram itu juga disifatkan telah melanggar titah di-Raja yang disebut dalam sidang DUN lalu yang menekankan kepentingan pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar .

“Kerajaan Pahang di bawah BN ini memang tak serius laksanakan titah di-Raja itu.

“Di Pahang ini, mungkin pelombong haram, pembalak haram, peneroka tanah haram, mesin kuda haram semuanya seperti kebal, mungkin ada ‘surat biru’ agaknya dari ‘tangan ghaib’, kata Tengku Zul.

ADUN Mentakab itu turut melahirkan rasa kesal terhadap tohmahan yang sering dilontarkan pemimpin UMNO-BN negeri itu setiap kali pembangkang membangkitkan sebarang isu melibatkan kepentingan negeri
.
“Bila Adun pembangkang bawa aduan aduan rakyat, mereka dituduh nak jadi jaguh, langgar kawasanlah, kurang cerdiklah dan cuba nak burukan BN.

“Kalau Adun kawasan sendiri tak mahu bawa masalah rakyat setempat, siapa lagi yang akan bawa atau selesaikan? Jadi, kita bangkitkan semua (masalah) ini,” dedahnya.

Dalam masa yang sama, kerajaan UMNO Pahang juga katanya dilihat sering mencari alasan untuk mengelak dari bertanggungjawab.

“Biasalah SOP kerajaan negeri Pahang di bawah BN, bila ada kematian, banjir lumpur, air sungai cetek, air sungai kotor-keruh mulalah jadi cerita ‘Bangau Oh Bangau’.

“Alasan yang selalu digunakan ialah tak cukup kakitangan pihak penguasa dan sebagainya.

“Tak peliklah negeri kelahiran Najib Razak jadi antara yang miskin di Malaysia tapi pemimpin UMNO hidup mewah dan kaya-raya,” sindir Tengku Zul. -Roketkini.com


Tiada ulasan: