Isnin, 19 Jun 2017

Shahrir beri bayangan pimpinan FGV bakal berubah

 
Bagaimanapun, pengerusi Felda itu enggan menyatakan secara langsung apabila ditanya sama ada beliau maksudkan Tan Sri Isa Samad yang merupakan ketuanya. 


shahrir-fgv


PETALING JAYA: Tan Sri Shahrir Samad berkata, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang berhadapan dengan pergeseran di peringkat tertinggi syarikat itu perlu melalui perubahan kepimpinan termasuk pengerusinya.

Bagaimanapun, pengerusi Felda itu enggan menyatakan secara langsung apabila ditanya sama ada beliau maksudkan Tan Sri Isa Samad yang merupakan ketuanya.

Sebaliknya beliau yang dipetik Star Online hanya memberitahu: “Tunggu pengumuman penting daripada pemegang saham khas mengenai perkara ini.”

Pemegang saham khas yang dimaksudkan itu adalah kerajaan, di mana ekuitinya dipegang melalui Kementerian Kewangan. Justeru, pemegang saham khas boleh melantik pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan pengarah FGV.

Sehubungan itu, Shahrir yang menerajui Felda sejak tahun lalu berharap wakil agensi tersebut akan dilantik menganggotai FGV.

“Kami juga berharap wakil Felda kami akan dilantik ke dalam FGV seperti mana pernah berlaku pada masa lalu,” kata beliau kepada pemberita di Johor Bahru.

Minggu lalu, Shahrir berkata, tindakan drastik perlu dilakukan untuk memastikan syarikat tersebut kembali stabil dan langkah terbaik adalah untuk menempatkan wakil Felda dalam Lembaga Pengarah FGV.

Katanya, Felda mampu menyelesaikan kemelut yang sedang melanda FGV, sekali gus membantu mengembalikan keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap syarikat itu.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki Felda dalam industri berkenaan.

FGV, syarikat berkaitan kerajaan yang disenaraikan di Bursa Malaysia, kini dilihat berhadapan dengan isu kepimpinan dan pengurusan serius.

Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad bercuti mulai 6 Jun lalu. Zakaria yang sebelum itu enggan meletakkan jawatan dilaporkan berhadapan dengan krisis pengurusan.

Badan itu mengeluarkan arahan kepada Zakaria untuk melepaskan 2 jawatan dipegangnya susulan siasatan tunggakan bayaran Safitex kepada Delima Oil Products.

Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha turut dilaporkan dipaksa bercuti serta-merta berhubung siasatan tunggakan bayaran Safitex.

Star Online juga melaporkan, Shahrir berpandangan memandangkan FGV berada dalam kedudukan kukuh, harga sahamnya semasa sepatutnya bernilai antara RM2.50 dan RM2.60.

Ditanya mengenai cadangan menjadikan FGV sebagai syarikat persendirian, beliau berkata, ia masih di peringkat awal dan beliau juga tidak fikir ia adalah perlu di persimpangan buat masa sekarang.

Tiada ulasan: