Sabtu, 24 Jun 2017

Setelah janji hospital tak tertunai, janji jambatan pula ditagih

 MALAYSIA DATELINE

Zaim Abu Hasan

Selepas hospital yang dijanjikan BN dalam dua kali pilihan raya umum (PRU) gagal dibina, hli parlimen Parit Datuk Zaim Abu Hassan terus dihantui janji tidak tertunai.

Kali ini janji membina jambatan yang menghubungkan Lambor Kanan dan Lambor Kiri.

Penyelaras AMANAH Parlimen Parit Tarmizi Mohd Jam membangkitkan pengumuman dibuat Zaim lebih 10 bulan lalu bahawa cadangan pembinaan jambatan itu sudah diluluskan.

"AMANAH Parlimen Parit memandang serius pengumuman ini memandangkan projek pembinaan Hospital Changkat Melintang masih tidak diketahui status sebenarnya walaupun diumumkan pembinaan projek bermula Februari 2017 tetapi sehingga kini tiada sebarang pembinaan dimulakan. Tak nampak bayang langsung.

"Menurut laporan Sinar Harian bertarikh 7 September 2016, sebanyak RM53 juta telah diluluskan untuk pembinaan jambatan bagi menghubungkan kedua-dua tempat itu," katanya.

Sebelum ini jambatan kayu yang menghubungkan kedua-dua kampung itu runtuh akibat arus deras ketika banjir melanda.

Sehubungan itu, Zaim memaklumkan tentang pembinaan jambatan baru menghubungkan kedua buah kampung pada program sehari bersama warga emas anjuran Klinik Kesihatan Bota Kiri di Akademi Latihan Kemas, September tahun lalu.

"Tidak dinafikan jambatan yang dijanjikan itu bakal memanfaatkan lebih kurang 10,000 penduduk dan mampu mengembangkan ekonomi penduduk kedua-dua tempat.
"Namun cerita dan kisah pembinaan jambatan ini juga sama seperti Hospital Seri Iskandar, disebut-sebut sejak PRU10 tahun 1999 lagi dan terus menjadi bahan kempen BN sehingga kini. Tetapi, setakat ini tidak diketahui hujung dan pangkal jambatan berkenaan. Entah ada entahkan tidak," kata Tarmizi.
Sehubungan itu, AMANAH menggesa Zaim menjelaskan status projek jambatan yang telah diluluskan peruntukannya dan diumumkan kepada orang ramai.

"Jangan jadikan ia sekadar janji-janji manis yang dicapati oleh Umno dan BN setiap kali pilihan raya," kata Tarmizi.

Tiada ulasan: