Jumaat, 2 Jun 2017

Selebriti, bekas ketua pasukan keselamatan terlibat dalam skim cepat kaya?

Nizam Zain
 


KUALA LUMPUR – Seorang selebiriti yang juga pengacara rancangan realiti komedi terkenal dipercayai terlibat disebalik aktiviti skim cepat kaya anjuran MBI Group International yang diserbu pihak berkuasa di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada Isnin lepas.

Menurut sumber MalaysiaGazette, selebriti tempatan bergelar ‘Datuk’ itu pada mulanya mengasaskan rangkaian sosial Malaysia Face atau Mface yang menyerupai media sosial Facebook untuk mengumpulkan para peminatnya.

Bagaimanapun ia bertukar menjadi skim cepat kaya apabila ia mula diuruskan Mface International Sdn Bhd iaitu salah satu anak syarikat MBI Holdings International.

Isnin lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu ibu pejabat MBI Group International di Ampang dan pejabat pengurusan M Mall di Pulau kerana menjalankan perniagaan berasas skim piramid.

Sebanyak 91 akaun bank dengan simpanan RM177 juta dibekukan selepas serbuan di ibu pejabat MBI Group International dan lima premis lain di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Penguatkuasaannya, Mohd. Roslan Mahayudin, tindakan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Mohd. Roslan berkata, semasa serbuan skim Mfc Club dan syarikat terlibat juga disyaki melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 4 (1) AMLA.

Selain itu, pelbagai barangan mewah turut dirampas dalam serbuan di enam premis di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang iaitu jam tangan, beg tangan, jongkong emas, pemacu kilat USB dan barangan kemas.

Pelabur MBI Group International dibenarkan membelanjakan mata ganjaran dikumpul pelanggan setia yang ditukarkan daripada wang maya bagi barangan dan perkhidmatan di pusat beli-belah itu
yang mempunyai pasar raya, restoran dan gimnasium.

Serbuan itu dilakukan susulan tindakan Bank Negara Malaysia menyenaraikan anak syarikat MBI, MBI International Sdn Bhd dan Mface International Sdn Bhd dalam senarai syarikat tidak sah kepada pengguna.

Sementara itu, sumber juga memberitahu, lebih mengejutkan apabila MBI Group International turut didakwa melibatkan bekas pemimpin tertinggi pasukan keselamatan negara di mana beliau dilantik sebagai pengerusi syarikat berkenaan.

Walaupun tiada tangkapan dilakukan pada masa serbuan KPDNKK Isnin lalu, namun daripada enam premis, tiga daripadanya merupakan kediaman.

Syarikat MBI Group International yang sudah beroperasi hampir lapan tahun mempunyai ramai pelanggan dari China. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: