Rabu, 7 Jun 2017

PRU14: Nurul sedia bersemuka Umno di Lembah Pantai

 Shawaliah Hadir

Beliau yakin bukan semua pengundi Melayu di kawasan tersebut mendokong Umno

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar akan terus mempertahankan Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau dalam masa yang sama menafikan dakwaan tidak digemari majoriti pengundi Melayu di kawasan itu.

“Tentu (akan mempertahankan Lembah Pantai)… Pada saya komitmen kita (PKR) di Lembah Pantai berterusan, saya terima arahan daripada parti dan begitulah yang kita teruskan.

“Saya akan tetap lawan, akan berusaha sebaik mungkin. Selama dua penggal saya di sini…

“Saya yakin bukan semua orang Melayu yang akan mendokong Umno-BN kerana kita tahu tahap populariti Najib Razak hanya sekitar 16 hingga 18 peratus sahaja,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat ( PPR) Kerinchi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Timbalan Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai Ramlan Shahaen, Nurul berkemungkinan tidak akan mempertahankan Parlimen yang telah dipegangnya selama dua penggal ini, kerana menyedari tidak digemari oleh masyarakat Melayu di kawasan tersebut.

Nurul yang juga Naib Presiden PKR menambah, sekalipun wujudnya pemindahan pengundi pos dari luar ke dalam Parlimen itu, beliau tetap akan menggunakan isu-isu semasa untuk melawan BN.

“Tentu kita bangkit melawan manipulasi SPR menggila, saya boleh tekankan bagaimana bukan sahaja peringkat Wilayah Persekutuan malah juga negeri Selangor secara keseluruhan membantah proses persempadanan semula yang dilakukan oleh SPR.

“Sehingga ke hari ini tidak dinamakan dua pakar topography dan geography yang memberikan alasan kenapa ibu pejabat polis Bukit Aman dimasukkan 7,000 undi ke dalam Lembah Pantai walaupun berada di luar kawasan.

“Kita teruskan kerja kita, bangkitkan isu… warga kota jauh lebih bijak menilai, mereka tahu bagaimana dalam negara ini termasuk di Kuala Lumpur atas dasar politik diluluskan beberapa perkara,” ujar beliau.

Parti pembangkang sebelum ini mengecam proses persempadanan semula Wilayah Persekutuan yang dilihat merisikokan kekalahan kepada Nurul ekoran peningkatan pengundi pos.

Walaupun akan menghadapi kesukaran kerana menyifatkan tindakan memindahkan undi polis sebagai taktik kotor, beliau tidak akan berganjak.

“Kalau nak guna cara kotor kita akan lawanlah tapi mengikut lunas undang-undang kerana kita pun menghormati Perlembagaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, bekas menteri Wilayah Persekutuan Raja Nong Chik dikatakan bakal calon BN di Lembah Pantai pada PRU akan datang.

Pada PRU yang lalu, Nurul menewaskan Raja Nong Chik dengan majoriti 1,847 undi.

Tiada ulasan: