Rabu, 7 Jun 2017

Politik Islam ubah senario PRU 14

“SAYA melihat golongan anak-anak muda di bawah 30 tahun memberi sambutan yang cukup baik kepada PAS. Jika senarionya begini, bermakna kematangan anak-anak muda hari ini, mungkin senario politik Islam akan mengubah suasana PRU kali ini.” Sisi pandang Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor 1, DATO’ DR AHMAD YUNUS HAIRI ketika ditemubual oleh Pengarang Berita, SAIDAH HAIRAN bersama jurugambar, FIKRI YUSOF.

WARTAWAN: Dato’ kekal sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 negeri Selangor. Bagaimana Dato’ melihat kekuatan saf kepimpinan PAS Selangor baru ini? 

DR AHMAD YUNUS HAIRI: Saya sebenarnya tidak melihat sama ada seorang pimpinan itu kuat ataupun tidak. Saya lebih mengambil pendekatan pimpinan kuat maka kita mesti ada satu kekuatan bersama dan kita ada disiplin yang baik.

Selama saya menjadi TPJ, saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mungkin mendahului Pesuruhjaya yang mungkin bertentangan dengan Pesuruhjaya PAS. Saya mengambil sikap membantu Pesuruhjaya. Ini kerana orang pertama dalam PAS di negeri Selangor adalah pesuruhjaya.

Saya mengambil pendekatan akan bersama dengan pimpinan yang sedia untuk memantapkan lagi kepimpinan atau parti yang sedia ada.

Saya mengharapkan itulah yang akan berlaku. Jika kita mempunyai kekuatan yang secara individu itu baik tetapi tidak pada jemaah, kita tidak membina satu kekuatan parti yang hebat.

Adakah Dato’ melihat PAS Selangor ke arah parti yang mempunyai kekuatan daripada pelbagai sudut?

Saya masih mengharapkan dan saya nampak bibit-bibit itu lebih ke arah itu.

Dato’, mungkin masih ada lagi ahli PAS yang masih tidak berpuas hati dengan pimpinan di peringkat kawasan. Bagaimana Dato’ mengatasi masalah ini?

Dalam PAS seronoknya apabila kita meletakkan Islam di hadapan. Kedua jika ada semangat perjuangan yang mantap daripada peringkat akar umbi. Kita mempunyai kekuatan yang tersendiri melalui program usrah dan sebagainya.

Apabila usrah dihidupkan di peringkat cawangan, kawasan dan negeri ia akan memberi kekuatan kepada semua ahli dan pimpinan. Percakaran berlaku apabila kita tidak ada Wahdatul Fikr (Keutuhan kesatuan fikrah) yang mana ia dapat dijelmakan melalui usrah.

Saya lihat, biasanya berlakunya percakaran itu tanda usrah tidak berjaya atau kurang dilakukan di peringkat cawangan dan kawasan.

Bagaimana pandangan Dato’ dengan senario politik PAS sekarang?

Senario politik pada hari ini politik pelbagai kemungkinan akan berlaku dengan pendekatan lain.

Melalui kajian yang dilakukan oleh kumpulan profesional, saya melihat bahawa insya-Allah, senario yang berlaku mungkin tidak akan sama dengan pilihan raya umum ke-13.

Ada pandangan mengatakan pengundi Tionghoa seolah-olah berpatah kepada MCA. Manakala pendekatan politik Islam itu sendiri pun, saya melihat ada perubahan yang agak ketara.
Jadi, saya menjangkakan PRU kali ini senarionya berbeza.

Menyebelahi PAS atau bagaimana yang Dato’ jangkakan?

Saya tengok golongan anakanak muda di bawah 30 tahun memberi sambutan kepada PAS cukup baik. Berbeza dengan golongan usia 31 hingga 50 tahun.

Jika senarionya begini, bermakna kematangan anakanak muda hari ini, mungkin senario politik Islam itu akan mengubah suasana PRU kali ini.

Senario pengundi kepada Islam bagi pengundi Melayu.

Apakah itu tanda PAS kurang mendapat undi daripada pengundi kaum Tionghoa?

Jika PAS secara berseorangan ia akan berkurangan tetapi apabila PAS memilih gabungan maka ia akan ada satu bentuk pengundi yang non muslim akan mengundi PAS disebabkan oleh gabungan.

Saya fikir daripada hasil kajian, senario pengundi yang memilih MCA semakin meningkat.

Jika dulu, boleh dikatakan kaum Tionghoa lebih memilih DAP. Hari ini, seolah-olah undi DAP daripada kaum Tionghoa menurun dan kembali kepada MCA.
 
Dato’ tidak tertekan apabila ada desakan daripada luar supaya tiga exco PAS meletakkan jawatan? 

Senario pentadbiran di negeri Selangor adalah mandat yang diberikan oleh rakyat ketika pilihan raya umum ke-13.

Pemilihan tiga orang exco PAS diperkenankan oleh Tuanku Sultan Selangor untuk bersamasama dalam urus tadbir kerajaan negeri.

Kita telah menunjukkan satu pentabdiran yang sangat baik walaupun kita sudah putus dari sudut tahaluf siyasi.

Saya kira ia tidak menjadi satu tekanan kepada saya. Saya memegang prinsip mandat daripada rakyat untuk terus mentadbir kerajaan negeri Selangor.

Desakan supaya exco PAS meletakkan jawatan itu adalah provokasi daripada pihak luar parti yang tidak senang hati dengan sistem parti atau pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS.

Mereka tidak senang hati dengan PAS apabila semakin mendapat tempat di hati rakyat.

Ini terbukti dengan kemenangan yang dicapai oleh PAS dari 8 kerusi menjadi 15 kerusi. Rakyat melihat pendekatan PAS dalam politik berada di hadapan dengan prinsip yang kita pegang dulu. Ia bukan sahaja retorik tetapi meletakkan rakyat di hadapan adalah angat diterima oleh rakyat.

Tiada ulasan: