Sabtu, 3 Jun 2017

Polis siasat kes kematian Zulfarhan

Wartawan MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kematian seorang pegawai kadet yang menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akibat kecederaan di Hospital Serdang malam tadi.

Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21 tahun yang berasal dari Johor Bahru meninggal dunia lebih kurang 9 malam.

Allahyarham merupakan penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Elektrik.

ATM memandang serius kejadian ini dan akan melaksanakan siasatan dalaman bagi menyiasat punca kematian Zulfarhan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dalam sebarang perlanggaran undang-undang dan peraturan, katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, polis akan melaksanakan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mereka yang terlibat.

Proses bedah siasat sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kematian.

“ATM telah menyediakan segala bantuan bagi membawa jenazah pulang ke kediaman waris di Johor Bahru dan menguruskan urusan pengebumian di Tanah Perkuburan kampung Kurnia, Jalan Kebun Teh,” katanya.

Pada masa sama, ATM menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kematian Zulfarhan dan menyerahkan pihak berkuasa melaksanakan siasatan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: