Rabu, 14 Jun 2017

PKR Label PAS Tak Waras Jemput PKR Kekal Dalam Kerajaan Kelantan






KOTA BHARU – Pelawaan Pas untuk mengalu-alukan PKR terus kekal dalam pentadbiran kerajaan Kelantan adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku, kata Pengarah Komunikasi PKR Negeri, Mohd Sukirman Mustapa.

Menurutnya, perkara tersebut bagaikan tidak masuk akal memandangkan Pas telah pun memutuskan kerjasama politik dengan PKR, Mei lalu.

“Bagaimana kerjasama dalam kerajaan boleh di teruskan kerana kerjasama politik sudah terbatal sama sekali dan presiden Keadilan sendiri melalui kenyataan terbaru semalam sudah memutuskan akhir Julai adalah tarikh untuk semua lantikan politik di kelantan melepaskan jawatan mereka,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang masih mengalu-alukan wakil PKR untuk terus kekal dalam pentadbiran kerajaan Kelantan.

Tindakan tersebut, menurutnya adalah sebagai menghormati mandat rakyat pada pilihan raya lalu seperti mana yang dipraktikkan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Mengulas alasan tersebut, Sukirman berkata, rakyat memberi mandat kepada parti, bukannya individu.

Malah bagaimana satu kerjasama yang kukuh boleh berlaku jika kedua-dua parti berada dalam gabungan yang berbeza.

“PKR kini berada dalam Pakatan Harapan, iaitu satu gabungan rasmi. Perkara ini mustahil. Walau apa pun, kita masih menghormati pelawaan tersebut, tetapi kita ikut keputusan pimpinan pusat.

“Kedua-dua pihak perlu lebih realistik tentang landskap politik mutakhir ini, apatah lagi pilihan raya
dikatakan semakin dekat. Kerajaan negeri sebelum ini tidak menyambung lantikan politik beberapa pimpinan peringkat negeri, malah ia tidak sepatutnya berlaku jika benar masih mahu bersama Keadilan,” katanya – SH

 

Tiada ulasan: