Rabu, 21 Jun 2017

Persiapan raya musnah terbakar


Persiapan raya musnah terbakar


SABAK BERNAM - "Saya nampak kepulan asap hitam, ingatkan kebun terbakar, tapi tak sangka bila sampai dekat nampak api julang tinggi bakar (sebuah) rumah penduduk," kata Mohamed Ali Abdul Hamid, 39, saksi kejadian kebakaran di Jalan Masjid, Kampung Sungai Tengar Utara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa yang juga seorang ibu tunggal, Fatimah Yusof, 75, terselamat kerana ketika kejadian dia tiada di rumah.

Bagaimanapun semua barang berharga, kelengkapan rumah termasuk persiapan raya hangus terbakar dalam kejadian itu.

Mohamed Ali berkata, kejadian itu disedarinya ketika dalam perjalanan  dari rumah bapanya di kampung itu  menuju ke rumahnya di Kampung Parit Baru.

"Sebaik sampai tempat kejadian, saya turun dari kereta dan terus ke rumah itu, kalau-kalau ada mangsa terperangkap dalam kebakaran sambil minta tolong jiran berhampiran sebelum saya hubungi pihak bomba untuk dapatkan bantuan.

"Saya rasa lega bila jiran maklumkan rumah itu kosong kerana mangsa ke Pekan (Parit Baru)," katanya.

Anak bongsu mangsa, Siti Azizah Kurdi, 46, berkata, sewaktu kejadian, ibunya membeli beberapa barangan persiapan raya di Pekan Parit Baru.

Menurutnya, ibunya mengetahui rumahnya terbakar selepas dimaklumkan jiran berhampiran.
"Emak hanya tahu rumahnya terbakar bila nampak orang ramai dah berkumpul dan lihat sendiri rumahnya  terbakar.

"Tapi Alhamdulillah, emak kuat semangat dan tenang dengan kejadian menimpanya. Cuma emak masih terkejut dengan kejadian tak terduga ini," katanya.

Siti Azizah berkata, ibunya tinggal di rumah itu bersendirian sejak arwah bapa meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu, manakala adik-beradiknya seramai empat orang masing-masing sudah berkeluarga dan tinggal di luar daerah ini, namun sering menziarahi ibu mereka pada hujung minggu.

"Raya nanti emak tinggal bersama kami, tapi buat sementara waktu ini, emak tumpang di rumah jiran terdekat sebab senang agensi berkaitan dan penduduk setempat berjumpa dan sampaikan sumbangan serta bantuan," katanya.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP), Zainal Abidin Ghazali juga telah maklumkan kepada agensi berkaitan dan Pejabat Ahli Parlimen Sabak Bernam bagi menyalurkan sebarang bentuk bantuan segera.

"Setidak-tidaknya, sumbangan dan bantuan yang diterima ini dapat ringankan beban emak lebih-lebih lagi nak sambut Syawal beberapa hari lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Mohd Saufi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran rumah itu pada jam 11.30 pagi.
"Sepasukan 10 pegawai dan anggota diketuai Pegawai Operasi Mohd Azhar Ngah Rawi dengan sebuah jentera FRT dikejar ke tempat kejadian.

"Ketika Bomba sampai, hampir keseluruhan rumah kelas B itu musnah terbakar," katanya.

Beliau berkata, sebuah jentera FRT bersama lima anggota dari BBP Sungai Besar turut membantu dalam operasi memadam kebakaran itu.

"Api berjaya dikawal pada jam 12.30 tengah hari sebelum dapat dipadamkan sepenuhnya 30 minit kemudian," katanya.

Menurut beliau, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam 12056022511152 atas nama Fatimah Yusof atau menghubungi anak perempuannya, Siti Azizah di talian 018-4641145.

Tiada ulasan: