Rabu, 7 Jun 2017

'Pengakuan peguam jadikan dokumen bocor SPRM tumpuan’

MALAYSIAKINI


Berdasarkan dokumen yang dipaparkan di sebuah blog, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli melemparkan dakwaan mengenai tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan dana SRC International milik negara untuk membuat beberapa pembayaran.

Rafizi yakin bahawa blog sprminsider.blogspot.com yang telah disekat oleh kerajaan, mengandungi kertas siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipercayai bocor.
Walau bagaimanapun, dakwaan beliau pada masa lalu berakhir dengan penafian demi penafian.

Namun semua ini berubabah petang tadi.
Dua peguam kanan, Datuk Ghazi Ishak dan Datuk Salehuddin Saidin mengakui menerima bayaran daripada Najib tetapi masing-masing menafikan mempunyai sebarang pengetahuan sama ada bayaran yang diterima mereka adalah dari sumber berkaitan SRC.

Salehuddin juga mengesahkan dakwaan Rafizi bahawa dirinya disoal oleh SPRM mengenai pembayaran berkenaan.

Ini memperkukuhkan spekulasi bahawa dokumen yang dipetik oleh pemimpin PKR itu selama lebih sebulan lalu memang adalah sahih.

Rafizi menganggap pengakuan Ghazi dan Salehuddin sebagai bukti bahawa dokumen yang dirujuknya itu adalah tulen.

"Dokumen itu adalah tulen dan sahih, semua maklumat terkandung dalamnya. SPRM harus mengulas apa yang akan mereka akan lakukan," kata Rafizi kepada Malaysiakini.

Peguam Syahredzan Johan berkata, pengakuan berkenaan menunjukkan bahawa terdapat "sedikit kebenaran" mengenai dokumen-dokumen tersebut.

"Ia memberi gambaran bahawa terdapat kebenaran. Tetapi kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan. Kita tidak tahu sama ada laman web (blog) itu adalah benar," katanya.

Syahredzan menggesa SPRM untuk menyiasat dokumen tersebut, seperti juga saranan bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, yang berkata sebarang petunjuk mengenai SRC International mesti dijejaki.

"Tidak kira dari mana datangnya maklumat itu, jika ada prima facie mencadangkan salah laku, maka ia mesti disiasat.

"Hanya dengan menyiasat, kita akan tahu sama ada dokumen tersebut mengandungi sebarang kebenaran," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan komen mengenai perkara ini.

Tiada ulasan: