Isnin, 12 Jun 2017

Penduduk Kluang mungkin syak wasangka pada DAP, kata ISMA

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penduduk Kluang, Johor mungkin syak wasangka dengan niat pemimpin DAP hadir ke bazar Ramadan di daerah itu untuk mengagihkan kurma secara percuma, justeru berlakulah insiden yang menjadi tular beberapa hari sebelum ini.
 
Ujar Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman, DAP kerap kali digambarkan sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan kerap kali mempersoalkan isu-isu sensitif membabitkan hal ehwal Islam, maka tidak hairanlah insiden sebegitu boleh berlaku.
 
Sabtu lalu, Ahli Parlimen Kluang (DAP), Liew Chin Tong dihalau dan dikasari peniaga kawasan itu, ketika sedang mengagihkan kurma kepada pengunjung bazar berkenaan.
 
"Kelakuan DAP sebelum ini, dia memang anti Melayu, anti Islam, banyak tindak-tanduknya yang mempertikai dan tidak selari seterusnya disifatkan sebagai anti Islam.
 
"Jadi, tiba-tiba dia nak pergi bagi kurma tu seolah-olah dia cuba menarik sokongan dan meraih simpati daripada masyarakat Islam, jadi kemungkinan masyarakat di sana membaca secara yang tersirat," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Malah katanya, DAP harus bekerja lebih keras dan menonjolkan partinya sebagai tidak rasis dan membuktikan ia bukan anti-Melayu Islam, seperti yang sering digambarkan banyak pihak sebelum ini.
 
"Kalau betul dia (DAP) nak Islam, nak berbaik-baik dengan orang Islam, kenapa selama ini dia menentang atau mempertikaikan hak-hak dan kepentingan Islam.
 
"Jadi bagai saya dia (DAP) perlu buat pembetulan yang menyeluruh kalau dia memag benar-benar nak melakukan sesuatu yang baik kepada orang Islam, maknanya dia kena buat secara menyeluruh, kalau tidak dia terdedah kepada salah faham."
 
Dalam kejadian lewat petang itu, dua lelaki menghalang Liew dan kumpulannya memasuki bazar berkenaan.
 
Salah seorang daripada mereka cuba mengasari staf Liew apabila mahu merampas kamera miliknya. Dalam pergelutan itu, Liew tercedera di dahinya.
 
Semalam, polis menahan dua lelaki yang terbabit dalam insiden itu.
 
 

Tiada ulasan: