Isnin, 12 Jun 2017

Pemuda Amanah gesa kerajaan campur tangan isu kenaikan tambang bas

MALAYSIA DATELINE

tambang bas


Pemuda Amanah Nasional menggesa kerajaan campur tangan dalam isu kenaikan tambang bas yang didakwa akan berlaku pada musim perayaan ini.

Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, kerajaan harus membantah kenaikan itu kerana ia sangat menyusahkan rakyat yang sedia terbeban dengan Cukai Barangan dan Perkidmatan (GST).

Apatah lagi katanya, kenaikan ini akan berlaku ketika rakyat sedang melakukan persiapan menyambut Syawal.

"Kerajaan perlu campur tangan dalam hal ini dengan menyekat dan membantah kenaikan tersebut yang sangat membebankan rakyat. Sekiranya kenaikan tersebut tidak lagi mampu dikawal, Pemuda Amanah Nasional menyarankan agar kos tersebut ditanggung oleh kerajaan.

7. Rakyat sudahpun menanggung dan membayar cukai GST, sewajarnya kerajaan mengambil kira soal itu dengan tidak sewenang-wenangnya membenarkan apa jua kenaikan yang menambahkan lagi bebanan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan kadar tambang bas ekspres akan dinaikan sebanyak 10 peratus berbanding harga biasa bagi perjalanan ke seluruh negara bermula 22 Jun hingga 2 Julai.

Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha BAS Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali dilaporkan sebagai berkata, langkah itu bagi memastikan perkhidmatan bas ekspres tidak tergendala selain dapat menampung kos operasi pengendalian yang kian meningkat menjelang sambutan Aidilifitri.

Utusan melaporkan lagi, kenaikan harga tiket bas tersebut bukan hanya bergantung kepada harga minyak semasa sebaliknya ia turut dipengaruhi faktor lain berdasarkan ketetapan SPAD.

Mengulas lanjut, Sany berkata pihaknya kecewa terhadap SPAD yang gagal memainkan peranannya untuk mengawal kadar tambang sebaliknya memberi 'restu' terhadap kenaikan ini.

"SPAD sewajarnya mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat sebarang keputusan dan ketetapan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: