Jumaat, 16 Jun 2017

Peluang Anwar bebas cerah ekoran skandal upah RM9.5 juta

KEADILAN DAILY

 

KUALA LUMPUR : Bayaran RM9.5 juta kepada peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Umno BN dalam kes Fitnah II, boleh menyebabkan kes tersebut dibicarakan semula kerana elemen konspirasi politik, kata seorang peguam hak asasi manusia pada satu forum malam tadi.

“Berdasarkan konspirasi politik yang digunakan Anwar bagi mempertahankan dirinya dan jika dakwaan mengenai RM9.5 juta itu benar dibayar maka sudah pasti ada salah perbicaraan (terdahulu),” kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perlembagaan Undang-Undang Majlis Peguam, Surendra Ananth.

“Dan ada keperluan untuk mengadakan perbicaraan semula untuk menyiasat Shafee. Mahkamah juga boleh mengenepikan sabitan semasa perbicaraan semula,” katanya dalam forum “Kesan Daripada Pendedahan RM9.5 juta”  di Gerak Budaya, Petaling Jaya malam tadi, lapor The Malaysian Insight.

Beliau berkata jika dakwaan tersebut didedahkan lebih awal iaitu semasa Anwar memohon di Mahkamah Rayuan untuk melucutkan kelayakan Shafee yang mengetuai pasukan pendakwaan pada 2013 maka keputusan mungkin berbeza.

“Bagaimanapun, agak sukar untuk saya melihat adanya kaitan bagaimana RM9.5 juta akan memberi kesan terhadap bukti kes tersebut kerana ia memerlukan (bukti) yang lebih lagi,” katanya.

Pendedahan mengenai bayaran rahsia itu dilakukan laman pembocor rahsia Sarawak Report pada 31 Mei lalu.

Laporan tersebut mendakwa Shafee menerima RM9.5 juta secara terus daripada akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat pelaburan negara yang dilanda skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sarawak Report turut mendakwa pembayaran kali kedua sejumlah RM5.9 juta diberikan kepada Shafee dua minggu sebelum mahkamah mengenepikan pembebasan Anwar pada 2014.

Forum malam tadi dikendalikan bekas Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff, pengasas Inisiatif Serantau bagi Tadbir Urus, Hak Asasi Manusia & Keadilan Sosial (HAK).

Tiada ulasan: