Sabtu, 10 Jun 2017

PAS masih harap PKR Kelantan kekal jawatan


PKR pusat memberi arahan meletak jawatan dan pemimpin parti itu di Kelantan dilaporkan masih membuat persediaan - walaupun hampir sebulan lamanya - untuk melaksanakan perintah itu.

PAS pula ada pandangan tersendiri.

Walaupun sudah memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi), dan mengumumkan untuk bertanding antara satu sama lain pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, PAS masih berharap PKR kekal berkhidmat melalui jawatan lantikan di Kelantan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata mereka diharap boleh meneruskan khidmat masing-masing sekurang-kurangnya sehingga PRU ke-14 yang dijangka bakal diadakan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata keputusan akhir tetap terpulang kepada PKR.

“Tindakan PKR adalah hak parti, tapi kerajaan Kelantan berharap PKR terus kekal berkhidmat sehingga PRU akan datang,” katanya pada sesi soal jawab sempena majlis berbuka puasa PAS Pusat di Rabbani Lamb House, Kuala Lumpur.

Isu peletakan jawatan lantikan politik membabitkan anggota PKR Kelantan menjadi perhatian sejak PAS memutuskan kerjasama politik dengan parti berkenaan baru-baru ini.

Tunggu perkembangan Pujut

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri mengumumkan - pada 16 Mei lalu - semua anggota PKR yang dilantik menyertai kerajaan negeri di Kelantan perlu meletakkan semua jawatan serta-merta.

Usul itu selaras dengan cadangan bekas senator dan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Izham Ramli, yang berhujah langkah itu perlu dibuat bagi menunjukkan kesungguhan PKR meletakkan kepentingan rakyat dan prinsip lebih utama berbanding kehendak peribadi.

Untuk rekod, PKR Kelantan kini diketuai bekas anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Abdul Kadir.

Siang tadi Dr Wan Azizah memberitahu anggota PKR terbabit mungkin akan meletakkan jawatan pada Julai nanti.

Kata Tuan jika PKR tetap memutuskan untuk meletakkan jawatan, PAS akan membuat lantikan baru bagi mengisi kekosongan itu.

“Jawatan lantikan politik di Kelantan ada sekitar 52 orang, jawatan itu akan diganti dengan lantikan baru jentera parti,” katanya.

Tambahnya lagi, jawatan lantikan politik di Kelantan sangat unik, misalnya dengan pemilihan wanita sebagai penghulu masyarakat Siam di Kelantan.

Sementara itu, mengulas mengenai pilihan raya kecil Pujut di Sarawak, Tuan Ibrahim, berkata PAS akan buat membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak esok.

"Ada dua tiga perkara yang sedang kita tunggu pun, sama ada pilihan raya ada atau tidak, kerana DAP mencabar injunksi di mahkamah untuk minta supaya keputusan SPR it ditangguhkan dahulu.

"Jadi bagi kita, kita akan tunggu dulu apa sebenarnya ada atau tak ada pilihan raya," katanya.


Tiada ulasan: