Khamis, 8 Jun 2017

Pakatan Harapan harus lebih rasional, kata penganalisis

DALIA ISMAIL

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad


Pakatan Harapan harus bertindak lebih rasional dan terbuka untuk menerima siapapun yang akan diangkat sebagai calon perdana menteri jika parti pembangkang menang Pilihan Raya Umum ke-14, kata penganalisis.

Kegagalan Pakatan Harapan berbuat demikian ia sedikit sebanyak akan mengurangkan keyakinan pengundi terhadap kesepakatan parti gabungan dalam Pakatan Harapan.

Perkara ini ditekankan oleh Prof Dr Sivamurugan Pandian Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).

"Walaupun dalam konvensyen PKR lalu mengangkat Anwar sebagai calon perdana menteri ia sebenarnya telah menimbulkan pelbagai persepsi kerana semua orang maklum, Anwar masih menjalani hukuman penjara.

"Hal ini agak sukar untuk beliau dipilih sebagai calon perdana menteri kerana terpaksa melalui proses panjang dari sudut perundangan dan larangan bertanding pilihan raya selama lima tahun walaupun Wan Azizah bersedia untuk menyerahkan kerusinya.

Prof Dr Sivamurugan Pandian"Dalam konteks ini sudah tentu perlu calon lain untuk mengantikan beliau. Walau siapa pun calon adakah nama yang bakal dikemukakaan itu kelak, merupakan seorang yang akhirnya akan mencapai consensus dalam Pakatan Harapan?" soalnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai kemelut dalaman Pakatan Harapan untuk menentukan calon Perdana Menteri antara Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pertikaian siapa bakal menjadi calon perdana menteri berlarutan ekoran nama dua tokoh itu disebut-sebut yang layak untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Justeru katanya lagi,  pada masa ini isu utama ialah pengundi mahu tahu siapa yang boleh diangkat menjadi perdana menteri dan siapa pula yang akan menjadi barisan kabinet bayangan Pakatan Harapan.

"Masalahnya apabila kebelakangan ini timbul berbagai reaksi diberikan dan beberapa nama muncul.
"Ini boleh melahirkan  persepsi kurang baik seolah berlaku perebutan kerusi dan tiada calon berkelayakan dan sesuai yang boleh ditonjolkan Pakatan Harapan. Parti-parti dalam gabungan ini haruslah rasional dalam menentukan calon sesuai," ujarnya.

Menurut Sivamurugan lagi, siapapun tokoh yang dilantik tsepatutnya tidak menjadi pertikaian dalam parti-parti gabungan itu.

"Ini bukan sahaja untuk memilih seseorang berpengalaman atau tokoh terkenal tetapi sejauhmana semua parti dalam Pakatan Harapan sudah ada consensus yang tidak mendapat sebarang tentangan dalaman.

" Dari awal lagi Pakatan Harapan menunjukkan ketidaksepakatan dalam memilih siapa calon perdana menteri yang dianggap boleh memimpin dan hanya satu nama sahaja perlu diangkat," ujarnya.

Malah katanya lagi, Pakatan Harapan juga perlu menentukan kriteria untuk mencari seorang calon perdana menteri dan kriteria itu mesti dipersetuji parti gabungan.

"Pakatan Harapan hanya perlukan seorang 'kapten' untuk mengemudi arah tujuan mereka dalam gabungan itu.

"PKR masih melihat Anwar relevan untuk diangkat calon perdana menteri. Adakah PKR,DAP dan Amanah juga bersedia menerima Tun Mahathir untuk menunjukkan satu keputusan bersama?," soalnya yang berpandangan Pakatan Harapan perlu segera mengumumkan calon perdana menteri.

Tiada ulasan: