Jumaat, 9 Jun 2017

P Pinang tunjuk surat Najib mengenai pinjaman China

 
Surat tidak mengandungi sebarang bantahan kepada rancangan Pulau Pinang tetapi meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi kerajaan negeri.


Chow-Kon-Yeow-china-loan2

GEORGE TOWN: Surat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung rancangan kerajaan negeri meminjam wang dari bank milik kerajaan China ditunjukkan kepada media hari ini.

Surat kerajaan persekutuan itu tidak mengandungi sebarang bantahan kepada rancangan itu. Bagaimanapun, ia menyarankan kerajaan negeri memperhalusi rancangan mereka.

Exco Chow Kon Yeow mendedahkan surat itu hari ini susulan penentangan Barisan Nasional Pulau Pinang kepada permohonan pinjaman itu.

Sebuah bank China menawarkan bantuan pinjaman untuk menebus guna 3 pulau di selatan Pulau Pinang.
Pulau ditebus guna itu akan digunakan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) bernilai RM27 bilion. Rancangan itu termasuk jalan raya, lebuh raya dan laluan transit aliran ringan serata negeri.

Secara asasnya, isi kandungan surat Najib, selaku menteri kewangan, bertarikh 31 Mei 2016 itu seperti yang disebutkan Lim sebelum ini: mengesyorkan Pulau Pinang meluluskan enakmen yang membolehkan kerajaan negeri meminjam wang dari bank atau institusi kewangan secara rasmi.

Najib turut memberikan beberapa garis panduan, termasuk mana-mana kerajaan negeri tidak boleh membuat pinjaman melebihi tempoh pinjaman 5 tahun.

Surat itu juga mendedahkan pegawai kerajaan Pulau Pinang memberi taklimat kepada pegawai kementerian mengenai rancangan meminjam wang dari China dalam satu mesyuarat 10 Jun 2015.

Gerakan menuduh kerajaan negeri tidak merujuk kementerian kewangan sebelum meluluskan Enakmen Pinjaman Kerajaan Negeri (Bank dan Sumber Kewangan Lain) 2017.

Sementara itu, Chow berkata mana-mana parti dalam BN yang tidak berpuas hati dengan pinjaman itu serta pelaksanaan PIP boleh meminta kerajaan persekutuan “mengambil alih” projek itu.

Beliau berkata BN harus sedar mereka gagal menyediakan LRT dan prasarana pengangkutan awam lain yang diperlukan negeri itu.

Oleh itu, Pulau Pinang tiada pilihan melainkan mencari jalan membina prasarana pengangkutan awam sendiri dengan mengambil pinjaman dan menebus guna tanah.

Beliau berkata jika pembangkang negeri boleh meyakinkan Najib mengambil alih PIP, kerajaan negeri sedia menyerahkan teraju projek itu kepada kerajaan persekutuan.

Chow berkata meminta pinjaman dari kerajaan persekutuan untuk membiayai PIP suatu perkara yang sukar kerana sebelum ini usaha membincangkan cara itu tidak menjadi kenyataan.

“Ketika itulah kita putuskan, kita teruskan tanpa menunggu Putrajaya dan cari rakan pelaksana projek,” katanya.

Chow berkata tiada bantahan terhadap PIP di sesi taklimat kepada Majlis Ekonomi Negara kerana kerajaan persekutuan sukacita Pulau Pinang berhasrat membiaya projek itu.

Pasukan Komunikasi Strategik BN baru-baru ini melahirkan kebimbangan mengenai rancangan kerajaan negeri meminjam wang dari kerajaan China ketika perbelanjaan pentadbiran negeri meningkat naik.

Pasukan itu dalam kenyataan berkata perbelanjaan pentadbiran meningkat 500%, tanah dan aset negeri yang berkurangan, dan kemungkinan rizab negeri yang akan berkurangan pada masa depan, sesuatu yang membimbangkan.

Kerajaan negeri menjawab kewangan mereka dalam keadaan baik dan terurus, disokong komen positif dari ketua audit negara.

Tiada ulasan: