Isnin, 5 Jun 2017

Najib harap Presiden Trump gugurkan kes 1MDB?


Roketkini.com

SERDANG: Tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menarik diri dari Perjanjian Paris pada 1 Jun lalu yang merupakan usaha global pengawalan iklim dunia amat dikesali masyarakat antarabangsa.

Ini kerana Amerika Syarikat merupakan penyumbang kepada perubahan suhu dunia memandangkan negara itu pengeluar kedua terbesar gas-gas rumah hijau.

Keputusan Trump menarik diri dari perjanjian tersebut antara lain akan mengehadkan usaha pengawalan dan langkah-langkah perubahan iklim global.

Menurut Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, di saat pemimpin-pemimpin dunia menzahirkan rasa kesal dan bimbang terhadap tindakan Amerika Syarikat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus berdiam diri.

“Adakah sikap berdiam diri Najib dalam perkara ini bertujuan supaya tidak menyinggung Presiden Trump agar Jabatan Kehakiman (DOJ) menggugurkan kes skandal 1MDB dan tidak menangkap individu yang terlibat termasuk Jho Low?” soalnya.

Penarikan diri Amerika Syarikat dari perjanjian yang telah ditandatangani oleh 195 negara itu telah mendapat kritikan pemimpin dunia antanya ialah Chanselor German, Angela Merkel dan Presiden Perancis Emmanuel Macron sementara Russia dan China mengekalkan komitmen mereka kepada perjanjian tersebut.

Dalam satu kenyataan, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Malaysia melahirkan rasa kesal dan bimbang terhadap keputusan Amerika Syarikat itu.

“Saya amat bersetuju dan memuji kenyataan yang dibuat Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menlahirkan rasa sedih yang mendalam terhadap kenyataan Amerika Syarikat.

“Tetapi sehingga sekarang Datuk Seri Najib Razak hanya diam dan tidak memberikan sebarang kenyataannya sedangkan Malaysia merupakan antara 30 negara yang telah membuat pengumuman bersama di  Konvensyen One Belt One Road (Satu Kawasan Satu Laluan) di China Mei lalu,” katanya lagi. –Roketkini.com


Tiada ulasan: