Isnin, 5 Jun 2017

Mesej WhatsApp palsu kaitkan Sivarasa dan istana

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil menafikan kandungan satu sebaran mesej palsu menerusi aplikasi WhatsApp yang mengaitkan Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah dan istana Selangor.

Menurut Fahmi, mesej tersebut yang mengandungi beberapa kesilapan fakta ketara tidak pernah dikeluarkan oleh Sivarasa.

“Beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media seperti ini, malah beberapa fakta adalah salah iaitu beliau tidak mempunyai seorang pembantu pada waktu ini yang bernama Peter Chong dan beliau bukan Naib Presiden KEADILAN,” kata Fahmi dalam kenyataan.

Sementara itu, Sivarasa dalam kenyataannya turut menegaskan penafian sama.

“Kenyataan yang berkata saya akan membuat laporan polis berkenaan titah Tuanku Sultan Selangor adalah palsu dan rekaan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya akan berbincang dengan penasihat undang-undang saya untuk mengenal pasti tindakan undang-undang selanjutnya terhadap mereka yang mencipta dan menyebar kenyataan palsu ini,” kenyataan Sivarasa dipetik.

Sivarasa kini sedang menyiapkan surat kepada istana Selangor bagi menjelaskan tindakan beliau berucap di Masjid An-Nur Kampung Melayu, Subang sewaktu menyampaikan bantuan Ramadan kepada anggota kariah masjid pada 31 Mei.

Tiada ulasan: