Jumaat, 16 Jun 2017

MB, Exco-exco Johor wajar isytihar harta

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
 
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Johor, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin perlu berani bertanggungjawab membersihkan nama negeri tersebut yang tercalar kerana isu rasuah, baru-baru ini.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata MB Johor wajar menjadi contoh kepada semua kakitangan pentadbiran negeri seterusnya diikuti exco-exco untuk isytiharkan harta mereka.

"Sejak awal lagi, saya dan rakan-rakan Pakatan Harapan secara konsisten mendesak agar pentadbiran negeri Johor bertanggungjawab terhadap perkara yang berlaku yang jelas telah mengkhianati amanah rakyat.

"Mereka perlu bertanggungjawab dengan memastikan amalan pengisytiharan harta bagi memastikan kerajaan negeri yang dipilih rakyat benar-benar bebas rasuah dan adil kepada semua," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Bekas Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi bersama seorang perunding hartanah mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas 33 pertuduhan berbeza membabitkan rasuah hartanah bernilai RM 30.3 juta.

[Abd Latif, perunding hartanah didakwa 33 tuduhan rasuah]
Tertuduh, Amir Shariffuddin Abd Raub, 44 dan Abd Latif Bandi, 51, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim, Mohd Fauzi Mohd Nasir.
Tambah Salahuddin lagi, insiden yang berlaku ini wajar diambil iktibar oleh semua pihak.

"Tragedi yang berlaku berhubung rasuah dan penyelewengan kuasa tanah Johor adalah suatu amaran daripada ALLAH SWT agar sentiasa dan jujur terhadap amanah rakyat yang perlu dijaga dan dipelihara," katanya lagi.

Tiada ulasan: