Khamis, 29 Jun 2017

Malaysia komited henti jenayah pemerdangan manusia – Najib


Najib Razak

MALAYSIA GAZETTE


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengulangi komitmen Malaysia untuk menghentikan jenayah pemerdagangan manusia.

Menulis dalam catatan di laman rasmi Facebook beliau, Perdana Menteri berkata, usaha kolektif Malaysia dalam memerangi jenayah perdagangan manusia dalam negara dan serantau mula membuahkan hasil apabila negara memperbaiki kedudukannya dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2017.

Dalam Laporan Tahunan bagi 2017 itu yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, Malaysia telah dinaik taraf ke Tahap 2 daripada kekal di Tahap 2 Senarai Pemerhatian bagi tahun 2016.

“Syabas kepada mereka yang bekerja dengan gigih untuk mencapai ini. Kami tetap komited untuk menghentikan pemerdagangan manusia, melindungi mangsa dan mendakwa pelaku jenayah ini?,” kata Najib.

Tahap 2 diberikan kepada kerajaan negara yang tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum Akta Perlindingan Mangsa Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat 2000 tetapi membuat usaha penting untuk membawa diri kepada pematuhan standard tersebut.

Menurut laporan itu, kerajaan Malaysia telah menunjukkan peningkatan usaha berbanding tempoh pelaporan sebelum ini yang membolehkan ia dinaik taraf kepada Tahap 2.

“Kerajaan ini (Malaysia) menunjukkan peningkatan usaha-usaha dengan memperluaskan siasatan kes pemerdagangan, pendakwaan dan sabitan,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga memuji usaha Malaysia untuk menubuhkan Pasukan Petugas Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran bagi menggembleng usaha operasi antipemerdagangan bersepadu.

Malaysia menyasarkan untuk mencapai status Tahap 1 dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2020. Bernama

Tiada ulasan: