Selasa, 20 Jun 2017

Mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak rasmi Khamis ini

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak yang akan dilancarkan Khamis ini membuktikan keprihatinan kerajaan membanteras penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak serta melindungi mereka secara holistik.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual menyempurnakan pelancaran mahkamah itu di pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya.
 
Kewujudan mahkamah itu juga selaras Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang diluluskan di Parlimen, April lepas.
 
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan 5,779 kes penderaan seksual kanak-kanak direkodkan dari 2010 hingga 2015 dengan purata 963 kes setahun.
 
Statistik polis pula merekodkan 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang mahram, 1,423 kes mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii melibatkan mangsa di bawah 18 tahun pada 2015 dan 2016.
 
Negara sebelum ini digemparkan dengan isu pedofilia apabila seorang jurugambar bebas warga British, Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London pada 6 Jun 2016 atas kesalahan pencabulan seksual terhadap 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja hampir sedekad.
 
Penubuhan mahkamah itu pasti melegakan banyak pihak yang mahukan penguatkuasaan dan perlindungan berkesan terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual.
 
Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, harapan utama NCWO untuk melihat ibu bapa atau penjaga yang sebelum ini kurang berminat meneruskan pendakwaan kes melibatkan anak mereka untuk tampil memperjuangkan keadilan.
 
Sharifah berkata, NCWO berharap semua kes yang dibawa ke mahkamah itu dapat diselesaikan dalam masa setahun atau lebih cepat bagi menyemai keyakinan dalam diri ibu bapa dan penjaga yang institusi kehakiman komited membela nasib anak mereka.
 
Dalam pada itu, katanya, kempen kesedaran agar masyarakat membuka mata mengenai jenayah seksual kanak-kanak juga perlu seiring penubuhan mahkamah itu.
 
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nazariah Sharie Janon berkata, komitmen kerajaan perlu mendapat kerjasama masyarakat.
 
Pensyarah Undang-undang UIAM, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz pula berkata, penubuhan mahkamah khusus itu menunjukkan kerajaan menyediakan satu platform lengkap dengan kepakaran berkaitan dan sumber manusia cekap bagi membicarakan kes melibatkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
 
Selain mengurangkan kesibukan di Mahkamah Tinggi sebelum ini dari segi hak asasi manusia, mahkamah ini akan memberikan keadilan sebaiknya kepada mangsa dan tertuduh.
 
Bagaimanapun, katanya, kesediaan dan kesedaran masyarakat dalam mendedahkan bukti mengenai jenayah seksual kanak-kanak amat penting supaya misi kerajaan membanteras salah laku seksual terhadap kanak-kanak dijayakan ke tahap maksimum.
 
 

Tiada ulasan: